AHMEDABAD - Dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia lapan tahun dan tujuh bulan berjaya diselamatkan selepas doktor di Hospital Awam Ahmedabad, India mengeluarkan biji asam jawa dari saluran pernafasan dan subang dari kerongkong mereka.
Kedua-dua kanak-kanak itu sebelum ini mengalami komplikasi selepas tertelan objek berkenaan ketika bermain dalam dua kejadian berasingan.
Dalam kes pertama, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari daerah Amreli tertelan biji asam jawa ketika bermain kira-kira sebulan lalu.
Dia pada mulanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta tempatan sebelum keadaannya dilaporkan terkawal.
Bagaimanapun, beberapa minggu kemudian, kanak-kanak itu mula mengalami kesukaran bernafas sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta di Mahuva.
Pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dilakukan dan doktor turut cuba mengeluarkan biji berkenaan menerusi prosedur bronkoskopi.
Namun, komplikasi ketika prosedur menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dirujuk ke Hospital Awam Ahmedabad.
Menurut kenyataan hospital pada Ahad, kanak-kanak itu tiba sekitar jam 7 pagi pada 31 Oktober lalu sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan biji asam jawa yang tersangkut di dalam trakea atau saluran pernafasan.
Selepas pembedahan, dia berjaya dikeluarkan daripada bantuan ventilator dan keadaannya dilaporkan stabil sebelum dibenarkan pulang.
Dalam kejadian kedua pada 4 November lalu, seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dari Gandhinagar tertelan subang ketika bermain bersama ibunya sekitar jam 4 petang.
Bayi berkenaan mula mengalami muntah sebelum keluarganya segera membawanya ke sebuah hospital swasta di Naroda.
Pemeriksaan sinar-X mendapati subang itu tersangkut di kerongkongnya.
Bayi berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Awam Ahmedabad sekitar jam 7 malam pada hari sama sebelum doktor melakukan pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan objek berkenaan.
Menurut kenyataan hospital, tindakan segera itu berjaya mengelakkan keadaan yang boleh mengancam nyawa bayi berkenaan.
Keadaannya dilaporkan stabil selepas pembedahan dan dia turut dibenarkan pulang.
Kedua-dua pembedahan kompleks itu dilakukan oleh Dr Nirkhi Shah dari Jabatan Pembedahan Pediatrik dengan bimbingan Ketua Jabatan, Dr Rakesh Joshi serta bantuan pasukan Jabatan Anestesia diketuai Profesor Madya, Dr Sonal.