Enam lelaki pertaruh nyawa selamatkan kanak-kanak tergantung di tingkat 12

Iklan
Kanak-kanak itu dilihat tergantung di luar tingkap dengan lehernya tersepit pada jeriji besi.

ZHANGPING - Enam lelaki di wilayah Fujian, tenggara China, mempertaruhkan nyawa apabila bertindak menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang tergantung di luar tingkap sebuah pangsapuri di tingkat 12.

Kejadian berlaku pada pagi 17 Oktober lalu di sebuah kawasan perumahan di Zhangping selepas kanak-kanak itu tersepit pada jeriji besi tingkap rumahnya.

Iklan
Iklan

Menurut laporan agensi berita Xinhua, kejadian terbongkar selepas seorang penduduk berkongsi gambar kanak-kanak berkenaan dalam kumpulan sembang komuniti sebelum meminta bantuan pengawal keselamatan.

Kanak-kanak itu dilihat tergantung di luar tingkap dengan lehernya tersepit pada jeriji besi, manakala kedua-dua tangannya berpaut pada bahagian berkenaan bagi mengelakkan diri daripada terjatuh.

Iklan

Seorang pengawal keselamatan, Chen Youjie, segera bergegas ke lokasi sebelum bertemu penduduk, Chen Wenshui, yang turut tampil membantu.

Mereka pada mulanya cuba mendapatkan bantuan dari unit di tingkat 13, namun kedudukan tingkap terlalu jauh untuk membolehkan kanak-kanak itu dicapai.

Iklan

Pemilik unit berkenaan, Lin Bing, kemudian menyertai usaha menyelamat sebelum mereka bergerak ke tingkat 11 dan mendapat bantuan seorang lagi penduduk, Lu Yangze.

Chen Youjie yang menyedari wajah kanak-kanak itu mula bertukar gelap akibat kesukaran bernafas kemudian mengambil keputusan memanjat keluar melalui tingkap di tingkat 11.

Tanpa sebarang peralatan keselamatan, beliau berdiri di ambang tingkap sambil berpaut pada bingkai menggunakan sebelah tangan dan memegang sebuah bangku kecil dengan tangan yang lain untuk menyokong tubuh kanak-kanak itu.

Tindakan itu bertujuan mengurangkan tekanan pada leher mangsa bagi mengelakkannya daripada terus terhimpit.

Pada masa sama, Chen Wenshui memegang kaki Chen Youjie bagi memastikan lelaki itu tidak terjatuh ketika melakukan usaha menyelamat.

Dua lagi penduduk, Chen Changyang dan Zheng Weijiang, turut menyertai operasi berkenaan dengan membantu memegang bangku dari bahagian luar tingkap bagi menyokong kanak-kanak terbabit.

Chen Youjie berkata, usaha itu memerlukan kekuatan fizikal dan tumpuan tinggi kerana beliau perlu memastikan kanak-kanak berkenaan terus disokong sambil mengekalkan keseimbangan tubuhnya.

"Setiap bahagian tubuh saya mengerahkan tenaga. Saya perlu menyokong kanak-kanak itu sambil berpaut kuat pada bingkai tingkap.

"Saya juga perlu memberi perhatian kepada tempat kaki saya berpijak," katanya.

Beliau berkata, tubuhnya mula dibasahi peluh dan menggigil ketika operasi menyelamat berlangsung.

Malah, beberapa individu yang terbabit turut mempunyai ketakutan terhadap tempat tinggi, namun mengetepikan perasaan itu demi memastikan keselamatan kanak-kanak berkenaan.

Lin berkata, beliau biasanya takut untuk memanjat bangunan setinggi tingkat lima atau enam, namun keadaan kanak-kanak itu mendorongnya untuk bertindak.

"Apabila melihat kanak-kanak itu tergantung di luar tingkap, apa yang terlintas dalam fikiran saya hanyalah untuk menyelamatkannya," katanya.

Sepanjang operasi, mereka turut menenangkan kanak-kanak itu supaya tidak menangis atau membuat pergerakan yang boleh membahayakan dirinya.

Selepas kira-kira 30 minit, pasukan bomba tiba di lokasi sebelum memecahkan pintu rumah dan berjaya menarik kanak-kanak itu masuk ke dalam kediaman dengan selamat.

Difahamkan, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu tiada di rumah.

Siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan dipercayai memanjat ke arah tingkap untuk mencari ibu bapanya selepas terjaga daripada tidur dan mendapati mereka tiada di rumah.