DENGAN mengikuti kursus pengendalian makanan, Nurul Diana Yusuf, 40, kini memasang impian lebih besar untuk mengembangkan perniagaannya termasuk membuka sebuah kedai makan di premis Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama).
Bagi ibu kepada tiga cahaya mata yang berasal dari Temerloh, Pahang itu, peluang menyertai Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) bukan sekadar membolehkannya memperoleh sijil malah menyuntik keyakinan untuk meneroka dunia keusahawanan yang tidak pernah dirancang secara serius.
Menerusi kursus anjuran Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) itu, beliau kini mengembangkan perniagaannya, Diana Selera Pantai Timur.
“Bagi saya, kursus ini bukan sekadar memberikan kemahiran malah membuka peluang untuk saya menjana pendapatan sendiri demi membantu keluarga,” katanya yang merupakan ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Udara Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.
Namun, perjalanan membina perniagaan bukanlah mudah. Diana mengakui kekurangan modal menjadi cabaran utama, lebih-lebih lagi apabila perniagaan yang diusahakannya itu bermula tanpa perancangan rapi sejak awal.
“Saya harap agar program K²T dapat diteruskan dan diperluaskan supaya lebih ramai ahli Bakat di seluruh negara berpeluang mempelajari kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan,” ujarnya.
Pengalaman Diana turut dikongsi oleh Zainun Dol yang juga ahli Bakat Udara di Pangkalan Udara Sendayan dan melihat K²T sebagai platform untuk mengenal pasti bakat serta mengembangkan potensi diri.
Zainun mula mengetahui mengenai program itu melalui hebahan aktiviti Bakat Udara sebelum tertarik untuk menyertai kursus yang ditawarkan oleh Yayasan LTAT dengan kerjasama Kolej Komuniti.
Antara kursus yang disertainya ialah Seni Kraf Resin (Resin Art), yang membuka peluang untuk menghasilkan produk kreatif berpotensi dipasarkan sebagai hadiah dan cenderamata.
“Apabila mengetahui Yayasan LTAT bekerjasama dengan Kolej Komuniti untuk menyediakan pelbagai kursus kemahiran, saya tertarik untuk menyertainya kerana saya sememangnya gemar mempelajari perkara baharu,” katanya.
Menurut Zainun, cabaran utama yang dihadapi adalah membahagikan masa antara tanggungjawab keluarga, penglibatan dalam aktiviti Bakat dan keinginan untuk menambah kemahiran diri.
Bagaimanapun, bimbingan tenaga pengajar serta sokongan rakan-rakan peserta membantu memudahkan proses pembelajaran dan meningkatkan keyakinannya untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Walaupun saya masih dalam proses mengasah kemahiran, peluang untuk memperoleh pendapatan sampingan menjadi motivasi yang sangat besar kepada saya," katanya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu berharap program berkenaan turut dilengkapi latihan susulan seperti pemasaran, penetapan harga produk dan bimbingan keusahawanan bagi membantu peserta mengubah kemahiran kepada peluang pendapatan yang lebih konsisten.
Memperkasa keluarga tentera secara menyeluruh
Kisah Diana dan Zainun memperlihatkan bagaimana latihan kemahiran mampu membuka ruang baharu kepada keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja untuk menambah pengetahuan malah membina keyakinan dan meneroka peluang ekonomi.
Menyedari keperluan itu, Yayasan LTAT terus memperkasa ahli Bakat dan anak-anak ATM menerusi program K²T.
Inisiatif itu selaras dengan usaha Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk meningkatkan kesejahteraan serta kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Nizar Sudin berkata, program berkenaan menyediakan latihan praktikal dalam pelbagai bidang termasuk jahitan, asas solekan, pengendalian makanan serta kemahiran digital seperti reka bentuk grafik dan kecerdasan buatan (AI).
Sepanjang 2026, sebanyak 85 kursus K²T telah dan akan dilaksanakan dengan penyertaan keseluruhan seramai 2,133 peserta.
Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Yayasan LTAT, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Bakat ATM, dengan sokongan Pharmaniaga Berhad sebagai penaja utama.
Selain kemahiran praktikal, K²T turut memberi tumpuan kepada keperluan keluarga tentera mendepani ekonomi digital menerusi kursus Generatif AI, AI untuk Permulaan, Canva, suntingan video, Microsoft Excel dan PowerPoint.
Bagi tenaga pengajar Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kedah, Chef Mohammad Norafiq Idris, kemahiran yang ditawarkan bukan sahaja berguna dalam kehidupan seharian, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan keluarga.
“Ilmu ini bukan sahaja berguna dalam kehidupan seharian malah boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan,” jelasnya.
Akhirnya, kejayaan K²T bukan sekadar diukur melalui jumlah kursus atau peserta, tetapi sejauh mana ilmu yang diperoleh mampu diterjemahkan kepada perubahan kehidupan.