INDUSTRI kopi tempatan masih berada pada fasa awal pembangunan, namun bagi usahawan kopi, Mirwan Badri Ahmad Badri, 41, keadaan itu bukanlah kelemahan, sebaliknya peluang besar yang perlu direbut.
Selepas lebih sedekad membina perniagaan dalam industri berkenaan, beliau percaya Malaysia mempunyai potensi untuk mengembangkan rantaian nilai kopi tempatan daripada peringkat ladang sehingga ke produk siap, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kopi import yang ketika ini masih menguasai pasaran.
Atas keyakinan itu, beliau bukan sahaja menyimpan hasrat untuk memiliki ladang kopi berskala besar pada masa depan, malah sedang membangunkan Utan Kopi, jenama yang menggunakan biji kopi keluaran tempatan sebagai langkah awal ke arah merealisasikan impian tersebut.
"Ketika ini, kami mendapatkan bekalan kopi dari Johor, Selangor dan Sabah. Ada kalanya kami juga membeli kopi dari Pahang.
"Namun, kebanyakan ladang kopi di negara ini masih berskala kecil, mungkin sekitar dua, lima atau 10 ekar. Industri penanaman kopi tempatan masih berada pada peringkat awal perkembangan," katanya kepada Sinar Bisnes.
Menurut beliau, masih terdapat ruang yang luas untuk industri kopi tempatan berkembang, terutamanya apabila sebahagian besar biji kopi yang digunakan oleh kafe, hotel dan pengusaha makanan dan minuman masih diimport dari luar negara.
Potensi besar kopi tempatan
"Kita perlu faham bahawa industri kopi di Malaysia bernilai sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun dan sebahagian besar wang itu mengalir keluar negara kerana kita mengimport biji kopi.
"Jadi, jika syarikat-syarikat besar memberi peluang kepada pemanggang kopi tempatan membekalkan produk mereka, saya percaya lebih banyak syarikat kecil boleh berkembang dan akhirnya menjadi pemain industri yang lebih besar," ujarnya.
Bagi Mirwan Badri, pembangunan industri kopi tempatan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek jualan semata-mata sebaliknya perlu bermula dengan pembinaan ekosistem yang kukuh termasuk penanaman, pemprosesan, pemanggangan dan pemasaran.
Justeru, beliau berharap lebih ramai pihak melihat potensi industri tersebut sebagai sektor yang mampu menjana pendapatan baharu kepada petani dan usahawan tempatan.
Dalam usaha memperkukuh jenama kopi tempatan, beliau turut memperkenalkan Utan Kopi yang membawa elemen pemuliharaan alam sekitar menerusi kerjasama rasmi dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menyokong usaha pemuliharaan orang utan di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok.
Sebanyak RM1 daripada setiap pek biji kopi yang dijual akan disalurkan kepada pusat berkenaan.
Bangkit daripada kegagalan
Bagaimanapun, perjalanan Mirwan Badri dalam industri kopi bukanlah sesuatu yang mudah.
Pemilik Sprezzatura Sdn Bhd dan kafe Sprezzatura Coffee itu memulakan perniagaan pada 2013 selepas meninggalkan kerjaya dalam sektor perbankan dengan berbekalkan modal kira-kira RM700,000 daripada pelaburan rakan kongsi.
Namun, pembukaan sebuah lagi cawangan kafe di Taman Tun pada 2019 menyebabkan beliau menanggung kerugian antara RM350,000 hingga RM400,000 dalam tempoh enam bulan sebelum operasi berkenaan ditutup.
Pengalaman tersebut menjadi titik perubahan yang mendorong beliau mempelbagaikan strategi perniagaan menerusi pembangunan Buna Market, platform dalam talian yang menghimpunkan pengusaha kopi tempatan untuk memasarkan produk masing-masing.
Ketika pandemik Covid-19, platform itu menerima sambutan memberangsangkan sehingga mencatatkan jualan kira-kira RM4 juta dalam tempoh dua tahun.
Pada masa sama, beliau turut menerima pembiayaan BSN Micro-i MADANI berjumlah RM50,000 yang membantu kelangsungan operasi perniagaan selepas pandemik.
"Pembiayaan itu banyak membantu saya untuk memulakan semula operasi kafe. Kami membeli meja, kerusi dan melabur dalam mesin kopi yang lebih baik berbanding sebelum ini," jelasnya.
Walaupun pernah berdepan kerugian besar, Mirwan Badri percaya masa depan industri kopi tempatan masih cerah.
Baginya, jika lebih banyak pihak bersedia menyokong pemain tempatan, Malaysia berpotensi membina ekosistem kopi sendiri yang mampu berdiri setanding negara pengeluar kopi lain pada masa hadapan.