HULU SELANGOR – Identiti tiga daripada lima mangsa yang ditemukan meninggal dunia selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak di sini pada Isnin, sudah dikenal pasti.
Mangsa pertama ditemukan ialah V Vijayan, 36, yang dijumpai anggota bomba di kawasan Jambatan Pertak pada jam 1.30 pagi Selasa, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, dua lagi mangsa yang dikenal pasti ialah Kapali, 49, warga Nepal dan B Kunjanmalayil, 35, warga India.
"Dua lagi mangsa yang telah ditemui belum dapat dikenal pasti identitinya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi pada Selasa membabitkan 45 anggota JBPM, 25 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tiga anggota polis dan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali.
Turut terlibat tiga anggota Pejabat Tanah Hulu Selangor, tiga anggota Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan dua malim gunung.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 petang Isnin, lapan individu terdiri daripada seorang warga tempatan, seorang warga Yemen, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa kepala air di Lata Jebus, Kampung Pertak, diteruskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Senarai mangsa dihanyutkan
1. Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20 (Yemen)
2. V Vijayan, 36 (Malaysia)
3. B Kunjanmalayil, 35 (India)
4. Chinnasamy Duraimurugan, 36 (India)
5. Monikkoth Raghunath (India)
6. Kapali, 49 (Nepal)
7. Seorang lelaki (warganegara Sri Lanka)
8. Seorang lelaki (warganegara India)