WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memutuskan untuk menangguhkan sementara serangan ketenteraan baharu terhadap Iran selepas menerima rayuan beberapa negara Teluk yang bimbang konflik berkenaan terus merebak, namun usaha mencapai perjanjian damai masih berdepan jalan buntu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan AS akan terus mengekalkan sekatan laut di Selat Hormuz buat masa ini, selain memastikan angkatan tenteranya sentiasa bersedia sekiranya tindakan ketenteraan diperlukan.
"Amerika Syarikat berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dengan kelengkapan terbaik yang pernah dihasilkan, namun kami tidak fikir akan ada sebarang sebab untuk menggunakannya," katanya kepada pemberita.
Konflik yang bermula pada 28 Februari menerusi serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran itu kini memasuki bulan kelapan tanpa sebarang petunjuk kemenangan jelas.
Walaupun Trump cuba meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan perang berskala besar kembali tercetus dalam masa terdekat, beliau masih belum bersedia menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Tehran.
Pegawai kanan AS dan negara Teluk turut meragui kemungkinan satu perjanjian damai dapat dicapai dalam masa terdekat.
Serangan antara kedua-dua pihak bagaimanapun masih berterusan apabila media kerajaan Iran melaporkan AS melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm pada malam Ahad.
Iran pula terus menyerang kapal tangki minyak di Teluk dan Selat Hormuz sepanjang bulan ini, manakala sekutu Tehran di Yaman, kumpulan Houthi, turut melancarkan serangan ke atas Arab Saudi.-Agensi