Rakyat ternanti-nanti penjelasan sebenar isu tahanan rumah Najib

Iklan
Najib Tun Razak. Foto fail Bernama

RAKYAT kini tertanya-tanya apakah sebenarnya isu yang timbul sehingga pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum dapat dilaksanakan meskipun Perintah Pengampunan Bersyarat sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada September lalu.

Perkembangan itu mencetuskan pelbagai persoalan apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah berkenaan serta kesannya terhadap hukuman penjara yang masih perlu dijalani Najib.

Iklan
Iklan

Najib turut dilaporkan telah menjelaskan denda RM50 juta pada 6 November lalu serta memenuhi antara syarat yang ditetapkan dalam Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September lalu.

Bagaimanapun, pembayaran denda itu turut menimbulkan persoalan perundangan susulan pengeluaran Perintah Pelepasan (Order of Discharge on Payment of Fine) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh sama.

Iklan

Isu utama yang dibangkitkan AGC ialah sama ada pembayaran denda berkenaan hanya menyelesaikan komponen hukuman denda, manakala baki hukuman penjara bagi kes SRC International masih perlu dijalani menerusi kaedah tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong titah tidak sepatutnya timbul kekeliruan isu tahanan rumah Najib

Iklan

Peguam Negara didesak tarik balik arahan tangguh tahanan rumah Najib - Veteran UMNO

Pemuda UMNO negeri, bahagian lapor polis isu ingkar titah Agong

UMNO, Pas Machang lapor polis isu pengampunan Najib

Keputusan pengampunan mesti dilaksana ikut undang-undang – Ka Siong

BN gesa laksana titah perintah Agong segera

Tafsiran kedua pula ialah pembayaran denda RM50 juta membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya sehingga keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.

Perbezaan tafsiran ini bukan perkara kecil kerana ia mempunyai implikasi terhadap kedudukan hukuman Najib, khususnya membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini kerana AGC turut menjelaskan bahawa hukuman penjara bagi kes 1MDB ditetapkan bermula selepas hukuman bagi kes SRC International selesai.

Malah, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB juga telah ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu.

Justeru, persoalan mengenai status baki hukuman SRC International perlu diperjelaskan kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan hukuman dalam kes 1MDB.

Persoalannya, mengapa isu berkaitan tafsiran perintah berkenaan hanya menjadi perhatian pada peringkat pelaksanaan?

Sedangkan Perintah Pengampunan Bersyarat itu sudah diperkenankan sejak 18 September lalu dan pembayaran denda RM50 juta pula merupakan antara syarat yang ditetapkan.

Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai penelitian terhadap implikasi undang-undang serta penyelarasan antara perintah pengampunan dengan perintah mahkamah berkaitan sebelum pelaksanaannya.

Pada masa sama, perkembangan berkenaan turut menyaksikan perbezaan pendirian antara AGC dengan pihak peguam yang mewakili Najib.

AGC menegaskan tindakan mendapatkan penjelasan lanjut bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan pelaksanaan perintah berkenaan tidak bercanggah dengan kedudukan undang-undang serta perintah mahkamah yang berkaitan.

Sebaliknya, pihak peguam Najib mempersoalkan tindakan penangguhan itu dan berpendirian bahawa pelaksanaan keputusan pengampunan tidak sepatutnya berdepan halangan selepas syarat yang ditetapkan dipenuhi.

Perbezaan pandangan ini menjadikan isu berkenaan semakin mendapat perhatian kerana ia bukan sahaja menyentuh kedudukan seorang bekas Perdana Menteri, malah turut membabitkan persoalan mengenai bidang kuasa serta tanggungjawab institusi berkaitan.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan Istana Negara pada 7 November menegaskan bahawa keputusan pengampunan bersyarat berkenaan jelas dan nyata serta tidak mempunyai sebarang kekaburan.

Baginda turut menegaskan bahawa pelaksanaan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Titah berkenaan sekali gus meningkatkan keperluan untuk semua pihak berkaitan memperjelaskan kedudukan sebenar isu yang timbul, khususnya berhubung pelaksanaan keputusan pengampunan tersebut.

Malah, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memperjelaskan perkara berkenaan menunjukkan isu itu memerlukan perhatian serius.

Langkah tersebut penting bagi memastikan segala persoalan berkaitan tafsiran perintah, kedudukan hukuman SRC International serta implikasinya terhadap kes 1MDB dapat diperjelaskan tanpa menimbulkan kekeliruan berpanjangan.

Rakyat kini ternanti-nanti penjelasan menyeluruh mengenai perkara menyebabkan pelaksanaan tahanan di rumah itu masih belum dapat dilakukan, termasuk kedudukan perundangan yang perlu diselesaikan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Penjelasan itu juga penting bagi memastikan tidak timbul persepsi bahawa sesuatu keputusan yang telah diperkenankan masih berdepan ketidaktentuan ketika tiba masa untuk dilaksanakan.

Apa yang menjadi perhatian, isu ini bukan sekadar berkaitan kedudukan seorang bekas Perdana Menteri, sebaliknya turut membabitkan kewibawaan institusi negara, penghormatan terhadap Institusi Yang di-Pertuan Agong dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Rakyat berhak mengetahui perkembangan sebenar perkara itu kerana ketelusan, kejelasan proses serta kepastian undang-undang merupakan asas penting dalam memastikan keyakinan terhadap institusi negara terus terpelihara.