Haruan makan anak: Rumah sepatutnya jadi tempat selamat, bapa pelindung

Iklan
Jangan sampai hilangnya nilai kemanusiaan sehingga anak sendiri tidak lagi selamat dalam rumahnya. Gambar hiasan

BERITA seorang bapa berusia 52 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah melakukan sumbang mahram terhadap anak kandung perempuannya sehingga melahirkan anak merupakan satu berita yang amat menyayat hati.

Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan institusi kekeluargaan, malah memperlihatkan pengkhianatan paling besar terhadap amanah seorang bapa.

Iklan
Iklan

Rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk seorang anak berlindung akhirnya menjadi tempat dia mengalami penderitaan.

Peribahasa haruan makan anak cukup menggambarkan betapa kejamnya perbuatan seorang bapa yang sanggup merosakkan kehidupan anak sendiri, naluri melindungi seolah-olah telah hilang apabila nafsu mengatasi akal dan pertimbangan kemanusiaan.

Iklan

Persoalannya di manakah silapnya sehingga seorang manusia sanggup melakukan perbuatan terkutuk terhadap darah daging sendiri,apakah nilai kasih sayang, tanggungjawab dan hubungan kekeluargaan sudah tidak lagi dihormati?

Lebih menyedihkan, mangsa ketika kejadian baru berusia 13 tahun 10 bulan.

Iklan

Pada usia semuda itu, seorang kanak-kanak perempuan masih memerlukan perhatian, bimbingan dan perlindungan daripada ibu bapanya.

Dia belum cukup matang untuk menghadapi tekanan kehidupan orang dewasa sebaliknya, masa untuk menikmati zaman kanak-kanak tanpa dibebani trauma dan pengalaman yang boleh menghancurkan masa depannya.

Kes ini turut membuka mata masyarakat tentang pentingnya pendidikan keselamatan diri dan pendidikan seksual yang bersesuaian dengan usia anak-anak.

Ibu bapa perlu mengajar anak mengenali batas sentuhan, memahami hak terhadap tubuh badan sendiri dan mengetahui bahawa mereka berhak berkata tidak terhadap sebarang perlakuan yang membuatkan mereka tidak selesa.

Anak-anak juga perlu diberitahu bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai jika berhadapan dengan ancaman atau gangguan.

Akhirnya, kes ini mengingatkan bahawa tidak semua yang bergelar bapa benar-benar menjalankan tanggungjawab seorang bapa.

Jangan sampai hilangnya nilai kemanusiaan sehingga anak sendiri tidak lagi selamat dalam rumahnya

Mereka adalah amanah yang wajib dilindungi, jika rumah sendiri tidak lagi menjadi tempat paling selamat untuk seorang anak, maka di manakah lagi tempat untuk mereka berlindung?