ISTANBUL - Pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Dr Tarek Mitri membincangkan perkembangan keselamatan negara tersebut serta usaha pemulihan pascakonflik bagi membantu rakyat Lubnan membina semula kehidupan.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya turut membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan semula infrastruktur dan ekonomi komuniti, bantuan kemanusiaan, latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang pertahanan bagi memperkukuh keupayaan dan daya tahan Lubnan.
Menurut beliau, Malaysia dan Lubnan mempunyai hubungan persahabatan yang erat, khususnya melalui penglibatan pasukan pengaman negara, MALBATT di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sejak 2007.
"Sumbangan anggota kita mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap keamanan dan kestabilan di selatan Lubnan.
"Saya berpandangan bahawa komitmen antara kedua-dua negara perlu diteruskan melangkaui penugasan pasukan pengaman, menerusi kerjasama untuk membantu meningkatkan sokongan moral dan membuka peluang ekonomi demi kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan itu sempena lawatan kerja empat hari ke Turkiye bermula 5 hingga 8 November ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan, delegasi turut mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8), Sohail Mahmood.
Kata beliau, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai peranan pertubuhan tersebut dalam usaha memperkukuhkan kerjasama ekonomi bagi menghadapi cabaran global yang memberikan kesan kepada pembangunan negara anggota.
Jelasnya, Malaysia melihat terdapat kepentingan untuk terus memanfaatkan platform D-8 bagi mengeratkan lagi hubungan sesama negara bersahabat untuk memperluaskan pelbagai bidang kerjasama dan membina daya tahan ekonomi bersama.
"Pertubuhan ini dibangunkan pada 1997 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara membangun melibatkan Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Iran, Turkiye, Mesir dan Nigeria.
"Saya menyifatkan kedua-dua pertemuan mencerminkan komitmen Malaysia terhadap penglibatan antarabangsa yang aktif dan membina.
"Malaysia akan terus mengutamakan dialog, persefahaman dan kerjasama praktikal dalam menyokong keamanan serta kemakmuran bersama," ujar Ahmad Zahid.