Malaysia-Turkiye perkukuh kerjasama strategik, sasar dagangan AS$10 bilion menjelang 2030

Iklan
Ahmad Zahid (kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan (tengah) di Istanbul Congress Centre pada pada 6 November 2026.

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Türkiye bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dua hala serta memperluas agenda ekonomi, perdagangan dan keselamatan serantau, dengan sasaran meningkatkan nilai perdagangan kepada AS$10 bilion menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan di Istanbul Congress Centre (ICC) pada 6 November lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertemuan kira-kira 30 minit selepas Majlis Perasmian TRT World Forum 2026 itu menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai hala tuju hubungan Malaysia-Türkiye, kerjasama strategik dua hala dan perkembangan geopolitik serta keselamatan serantau.

"Kedua-dua pihak turut membincangkan keperluan memperluas hubungan ekonomi dan perdagangan bagi meningkatkan nilai perdagangan dua hala daripada AS$5.6 bilion pada 2025 kepada AS$10 bilion menjelang 2030," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam hubungan itu, penubuhan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSCC), yang mengadakan mesyuarat sulung di Ankara pada Januari 2026, menjadi mekanisme penting untuk menyelaras keutamaan dan mempercepat pelaksanaan kerjasama strategik kedua-dua negara.

Ahmad Zahid berkata, beliau turut menggariskan potensi memperluas kerjasama dalam bidang pelaburan, industri pertahanan, pemindahan teknologi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), industri halal serta pengurusan bencana.

Iklan

Menurutnya, hubungan strategik Malaysia-Türkiye perlu melangkaui kerjasama tradisional dan diterjemahkan kepada inisiatif lebih konkrit, khususnya dalam membuka peluang pelaburan, memperkukuh kapasiti industri, memperluas pemindahan kepakaran serta meningkatkan daya saing ekonomi kedua-dua negara.

"Dalam konteks hubungan ASEAN-Türkiye, komitmen Malaysia selaku negara penyelaras untuk terus memperkukuh hubungan kedua-dua pihak dengan memberikan tumpuan kepada peluasan perdagangan, kerjasama teknologi dan pembangunan modal insan," tegasnya.

Menyentuh perkembangan keselamatan dan geopolitik, Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu turut membincangkan situasi di Syria, Lubnan dan Palestin, khususnya keadaan di Gaza yang terus menuntut perhatian serius masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap konflik berterusan serta kesannya terhadap kestabilan serantau, keselamatan orang awam dan keadaan kemanusiaan di kawasan terjejas.

Menurutnya, pendirian Malaysia jelas bahawa usaha mencapai keamanan berkekalan mesti berteraskan penghormatan terhadap kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

"Perlindungan orang awam dan jaminan akses bantuan kemanusiaan tidak boleh diketepikan dalam apa jua keadaan," katanya.

Beliau turut menegaskan masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan lebih berkesan dalam meredakan ketegangan, menghentikan penderitaan rakyat yang terkesan akibat konflik dan mengutamakan penyelesaian secara aman melalui dialog serta diplomasi.

Ahmad Zahid berkata, beliau menghargai komitmen dan peranan Türkiye dalam menyuarakan kepentingan keamanan serta keadilan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, Malaysia dan Türkiye mempunyai ruang luas untuk memperkukuh kesepakatan diplomatik dalam menangani isu serantau dan antarabangsa yang memberi implikasi terhadap keamanan serta kestabilan global.

"Hubungan Malaysia-Türkiye mempunyai asas kukuh untuk terus diperkasakan bukan sahaja sebagai rakan perdagangan dan pelaburan, malah rakan strategik dalam memperjuangkan kepentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kehadirannya ke Türkiye adalah atas jemputan Turkish Radio and Television Corporation (TRT) bagi menghadiri TRT World Forum 2026 serta menyertai sesi panel bertajuk 'Türkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor'.

Menurutnya, penyertaan dalam forum antarabangsa seumpama itu memberi ruang kepada Malaysia untuk berkongsi perspektif, menyuarakan pendirian negara serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan pemimpin dan pembuat dasar antarabangsa.

"Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan diplomasi yang konstruktif, berprinsip dan berpaksikan kepentingan nasional, selain memperkukuh kerjasama dengan rakan antarabangsa bagi menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat," tambahnya.