KUALA LUMPUR – Sudah seminggu berkampung dan berjaga-jaga. Itulah pengorbanan pasukan keselamatan siber yang bertungkus-lumus memantau serta menangani gelombang serangan siber terhadap pelbagai sistem penting negara.
Situasi mencabar itu didedahkan seorang pengguna Threads, @hanamansor, menerusi hantaran yang memaparkan gambar bilik operasi pasukannya bersama kapsyen mengenai usaha mereka berdepan ancaman berkenaan.
"Pasukan saya sudah seminggu berkampung untuk menangani cyberattack. Semoga dipermudahkan urusan pasukan kami, insya-ALLAH. Semoga negara dan kita semua dilindungi. Demi negara," katanya.
Hantaran itu menarik perhatian ramai dan mengundang pelbagai doa serta kata-kata semangat daripada pengguna media sosial.
Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, Hana tampil menjelaskan bahawa pasukannya bukan terdiri daripada penggodam, sebaliknya bertanggungjawab memastikan sistem kerajaan dan swasta dinaik taraf serta dilindungi daripada serangan siber.
"Hi semua, kami bukan hackers. Pasukan saya adalah mereka yang kena upgrade dan jaga sistem kerajaan serta swasta. Kami berjaga-jaga agar sistem mereka tiada yang kena hack," jelasnya.
Hana turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan moral dan doa orang ramai yang disifatkan memberi suntikan semangat kepada pasukannya untuk terus menjalankan tanggungjawab.
"Terima kasih di atas semua doa. Pasukan saya semangat ni nak jaga sistem lepas baca komen semua. Tak pernah terpikir kami ni hero. We are just doing our job.. Semoga yang baik-baik untuk semua dan negara!" tambahnya.
Hantaran berkenaan terus menerima reaksi positif warganet yang menghargai usaha pasukan keselamatan siber itu, khususnya dalam memastikan sistem penting kerajaan dan swasta terus terlindung daripada ancaman penggodaman.