KUALA LUMPUR - Pembangunan negara tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan kemegahan bangunan pencakar langit, kemajuan teknologi atau limpahan pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sebaliknya ia perlu turut berpaksikan pembentukan insan yang beradab, berakhlak dan memiliki nilai kemanusiaan yang luhur.
Sehubungan dengan itu, Anwar berkata, usaha membina sebuah negara yang hebat harus bermula dengan pembentukan institusi keluarga yang bahagia.
"Keluarga merupakan asas pembentukan masyarakat dan tunjang kekuatan negara, justeru gagasan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, perlu dijadikan pedoman dalam mendidik generasi muda supaya mampu menguasai teknologi dan ilmu baharu tanpa mengabaikan nilai, adab, kasih sayang serta sahsiah mulia.
"Saya yakin bahawa usaha membina negara yang hebat harus bermula dengan membina keluarga yang bahagia, kerana daripada institusi keluargalah lahirnya generasi yang bakal menentukan wajah dan masa depan negara,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani akan terus memperkukuh dasar dan inisiatif yang mengutamakan kesejahteraan keluarga termasuk kebajikan ibu dan anak, kemudahan penjagaan, sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) serta pengiktirafan terhadap peranan penjaga.
Terdahulu, Anwar merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam, Selangor hari ini yang turut dihadiri isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut memuji Nancy dan kementerian atas kejayaan menganjurkan sambutan berkenaan serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan kesejahteraan wanita dan memperkukuh institusi keluarga sebagai tunjang pembangunan masyarakat dan negara. - Bernama