'Tentera Iran semakin perkasa'

Iklan
Pulau Qeshm terus menjadi sasaran serangan terhad AS. - Foto Agens

TEHERAN -"Keupayaan tentera Iran kini semakin meningkat dan berada pada tahap lebih kukuh berbanding ketika fasa awal konflik dengan Amerika Syarikat (AS)."

Kenyataan itu dibuat jurucakap tentera, Mohammad Akraminia ketika usaha diplomatik menerusi pihak pengantara kini giat dijalankan bagi mengelakkan konflik di Asia Barat kembali memuncak selepas rundingan menemui jalan buntu selama beberapa bulan.

Iklan
Iklan

"Askar kami lebih berpengalaman dan yakin berdepan ancaman ketenteraan berdasarkan pengalaman melalui konfrontasi secara langsung dengan AS dan Israel. Angkatan tentera kami kini lebih bersedia, bersemangat dan komited selain memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi dalam menghadapi sebarang ancaman ketenteraan," lapor agensi berita IRNA memetik kenyataannya pada Sabtu.

Beliau menegaskan sebarang tindak balas ketenteraan akan dilaksanakan dengan segera, berkesan dan tanpa batasan geografi selaras dengan arahan kepimpinan tertinggi.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Teheran terus mengambil langkah mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz yang menjadi nadi perdagangan minyak dunia dan lazimnya menyalurkan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global.

Pada Jumaat, tentera AS mengumumkan tawaran wang sehingga AS$20 juta (RM81 juta) kepada individu yang dapat menyalurkan maklumat berkaitan program nuklear Iran.

Iklan

Program Ganjaran untuk Keadilan di bawah Jabatan Negara AS itu cuba mendapatkan maklumat mengenai pelbagai aspek program itu termasuk kemudahan, peralatan dan pihak yang terlibat khususnya dalam kalangan komuniti saintifik.

Pusat Perintah AS (CENTCOM) bagaimanapu tidak memperincikan jenis maklumat yang boleh melayakkan pemberi maklumat menerima imbuhan itu.

Dalam perkembangan berkaitan Presiden Donald Trump dilaporkan menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani bagi membincangkan usaha menamatkan konflik tersebut.

Sebelum ini, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan pentadbirannya masih komited mencari penyelesaian terhadap krisis berlarutan menerusi rundingan dan dialog.

Di sebalik usaha diplomatik itu, ketegangan di kawasan Selat Hormuz terus memuncak apabila dua peluru berpandu mengenai Pulau Qeshm pada awal pagi Sabtu selepas AS mengumumkan serangan terhad ke atas Teheran.

Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan tiada maklumat rasmi mengenai kerosakan yang berlaku susulan insiden tersebut.

Sementara itu, tentera Iran mengesahkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan sebuah dron milik AS di ruang udara pulau berkenaan. - Agensi