BEIJING – Sebuah kereta supercar elektrik keluaran pengeluar automotif China, BYD, mengalami kerosakan teruk selepas terbabas dan merempuh penghadang litar ketika menjalani ujian kelajuan tinggi baru-baru ini.
Jentera Yangwang U9 Xtreme yang dianggarkan bernilai AS$3 juta (RM12 juta) itu dilaporkan merempuh penghadang pada kelajuan kira-kira 360 kilometer sejam (km/j).
Menurut laporan VNExpress, insiden berkenaan tidak mengakibatkan kecederaan serius kepada pemandu meskipun kereta berkenaan mengalami kerosakan besar.
Rakaman video dan gambar kejadian yang tersebar di media sosial menunjukkan bahagian hadapan serta belakang kenderaan itu remuk akibat impak perlanggaran.
Malah, gandar belakang kereta berkenaan turut tercabut susulan rempuhan kuat tersebut.
Pemandunya, Jiang Wen, yang mempunyai pengalaman bekerja selama 23 tahun bersama BYD, dilaporkan berjaya keluar dari kenderaan itu sendiri tanpa memerlukan bantuan pasukan kecemasan.
Sementara itu, portal teknologi IT Home melaporkan bahawa Wen sedang menguji jentera berkenaan pada kelajuan antara 420 hingga 450 km/j sebelum kenderaan itu secara tiba-tiba hilang kestabilan.
Yangwang U9 Xtreme sebelum ini mendapat perhatian dunia apabila diiktiraf sebagai kereta produksi terpantas di dunia.