'Langit akan menjadi merah' Eropah dilanda ancaman bom palsu

Iklan
Denmark, Poland dan Romania yang turut terjejas dalam insiden terbaharu ancaman bom palsu itu pernah menuding jari menyalahkan Moscow berhubung beberapa serangan hibrid. - Foto Agensi

ROM – Siri ancaman bom palsu yang melanda Eropah pada Khamis lalu telah mencetuskan gangguan besar terhadap operasi penerbangan melibatkan hampir 30 penerbangan penumpang.

Insiden itu menyebabkan beberapa pesawat terpaksa mendarat cemas manakala jet pejuang dikerahkan untuk mengiringi atau memintas pesawat lain.

Iklan
Iklan

Kejadian itu merupakan gelombang kedua ancaman bom dalam tempoh beberapa hari selepas sekurang-kurangnya tujuh penerbangan dan sebuah kapal persiaran turut menerima ancaman serupa pada 3 November lalu.

Setakat ini, tiada kerajaan mengesahkan pihak yang bertanggungjawab dan tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab.

Iklan

Pakar keselamatan berpendapat, ancaman itu mungkin dilakukan oleh individu yang mempunyai motif peribadi atau pihak yang sekadar meniru tindakan terdahulu. Bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan insiden tersebut mempunyai ciri-ciri serangan hibrid yang dirancang dan diselaraskan secara lebih meluas.

Ketua kumpulan keselamatan penerbangan Dyami, Eric Schouten berkata, usaha untuk mengaitkan serangan sedemikian dengan sesebuah negara tertentu bukanlah sesuatu yang mudah meskipun corak kejadian itu mempunyai persamaan dengan modus operandi serangan hibrid.

Iklan

"Amat sukar untuk membuktikan penglibatan sesebuah negara apabila berdepan situasi seperti ini atau serangan sabotaj lain," ujarnya.

Sejak kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, beberapa negara Eropah berulang kali menuduh Moscow mendalangi pelbagai insiden sabotaj dan serangan hibrid di rantau itu.

Serangan sedemikian lazimnya melibatkan kos yang rendah, sukar dikesan dan mudah dinafikan selain tidak semestinya mencetuskan tindak balas ketenteraan secara langsung.

Denmark, Poland dan Romania yang turut terjejas dalam insiden terbaharu ancaman bom palsu itu pernah menuding jari menyalahkan Moscow berhubung beberapa serangan hibrid. Jerman pula menyalahkan Kremlin atas satu serangan yang berlaku di Lapangan Terbang Leipzig pada Ogos lalu.

Britain yang sebelum ini turut menuduh Rusia terbabit dalam beberapa insiden seumpama itu, kini mengaitkan Iran dengan satu komplot yang dipercayai menyasarkan sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Moscow dan Teheran menafikan semua tuduhan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, satu e-mel yang mendakwa dihantar oleh kumpulan dikenali sebagai 'pejuang Male State' mendakwa bahan letupan yang akan meletup dalam tempoh 60 minit diletakkan di dalam pesawat yang dalam perjalanan menuju ke Helsinki dan Dublin.

"Hari ini langit anda akan menjadi merah," demikian kandungan ugutan dalam e-mel tersebut.

Pengasas gerakan radikal 'Male State' berpusat di Rusia yang diharamkan pada 2021 atas alasan ekstremisme bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan kumpulan itu dalam siri ancaman bom palsu yang melanda Eropah. - Agensi