Dua maut pesawat ringan terhempas di lebuh raya

Iklan
Dua individu maut selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di lebuh raya di timur laut bandar Magdeburg, Jerman pada awal petang Jumaat.

MAGDEBURG (Jerman) - Dua individu maut selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di lebuh raya di timur laut bandar Magdeburg, Jerman pada awal petang Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik jurucakap polis.

Menurut siasatan awal, tiada kenderaan yang melalui Lebuhraya A2 terlibat dalam nahas yang berlaku antara bandar Burg dengan kawasan rehat Krahenberge.

Iklan
Iklan

Pesawat itu terbakar selepas terhempas, menurut polis. Polis dan pasukan kecemasan tiba di lokasi nahas, manakala laluan lebuh raya menghala ke Hanover ditutup kepada lalu lintas.

Pasukan kecemasan dari beberapa bandar berhampiran, perkhidmatan ambulans, pasukan sokongan kecemasan psikososial serta ketua bomba daerah dikerahkan ke lokasi nahas.

Iklan

Gambar menunjukkan anggota bomba memadamkan kebakaran pada bangkai pesawat berwarna merah dan putih kira-kira satu kilometer dari kawasan rehat Krahenberge.

Sebahagian besar pesawat itu musnah. Bahagian ekornya ditemukan di atas laluan lebuh raya, manakala serpihan yang terbakar bertaburan di sepanjang tambak jalan.

Iklan

Lebuhraya A2 merupakan antara laluan pengangkutan timur-barat paling penting di Jerman, yang menghubungkan kawasan metropolitan Berlin dengan negeri North Rhine-Westphalia di barat negara itu. - Bernama/dpa