JAKARTA – Bimbang dilabel mandul oleh keluarga mentua, seorang wanita di Indonesia sanggup mereka cerita kehamilan palsu selama 10 bulan sebelum mendakwa bayinya meninggal dunia ketika dilahirkan.
Wanita dikenali sebagai AR itu turut melakukan tindakan luar biasa apabila 'mengebumikan' sebiji bantal yang dibalut kain kafan bagi meyakinkan keluarga suaminya bahawa bayi berkenaan telah meninggal dunia.
Bagaimanapun, penipuan itu terbongkar selepas penduduk tempatan meminta kain kafan berkenaan dibuka sebelum proses pengebumian dilakukan.
Mereka terkejut apabila mendapati kain kafan tersebut hanya membaluti sebiji bantal dan bukannya jasad bayi seperti didakwa.
Ketua Perhubungan Awam Polis Bontang, Dany Purwantoro berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan membabitkan AR, suaminya yang dikenali sebagai DN, ahli keluarga serta pihak Hospital Yabis bagi menjalankan soal siasat.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu sengaja mereka cerita palsu mengenai kehamilan dan kematian bayi berkenaan.
Beliau berkata, tindakan tersebut dilakukan kerana AR bimbang dilabel sebagai wanita yang tidak boleh hamil oleh keluarga suaminya, termasuk ibu mentuanya.