Pesara tonton 1,207 filem setahun, pawagam umpama rumah kedua

Iklan
Glenwood Hoskin Jr., 60, mencatat rekod dunia Guinness World Records selepas menghabiskan masa dari April 2024 hingga April 2025 menonton filem di pawagam.

PENNSYLVANIA – Seorang pesara di Amerika Syarikat (AS) membuktikan minat mendalam terhadap dunia perfileman apabila berjaya menonton sebanyak 1,207 filem di pawagam dalam tempoh setahun, sekali gus mencipta rekod dunia Guinness World Records (GWR).

Glenwood Hoskin Jr., 60, mencatat pencapaian luar biasa itu selepas menghabiskan masa dari April 2024 hingga April 2025 menonton filem di pawagam Regal berhampiran kediamannya di York Haven, Pennsylvania.

Iklan
Iklan

Jumlah berkenaan menyaksikan beliau mencatat purata tonton 3.3 filem sehari, mengatasi rekod terdahulu sebanyak 777 filem yang dipegang seorang rakyat Amerika Syarikat, Zachariah Swope.

Menurut laporan Serious Business Network, Hoskin menjadikan aktiviti menonton filem seperti satu pekerjaan apabila setiap pagi menyemak jadual tayangan sebelum menyusun perancangan untuk menonton sebanyak mungkin filem, bermula seawal pagi hingga tengah malam.

Iklan

Beliau berkata, pengalaman menghabiskan masa di luar rumah serta cabaran mencapai sasaran ditetapkan menjadikan usaha itu sesuatu yang menyeronokkan.

Hoskin pada awalnya tertarik untuk mencuba rekod dunia bagi jumlah tontonan terbanyak bagi filem yang sama di pawagam.

Iklan

Rekod berkenaan dipegang seorang lelaki yang menonton filem Spider-Man: No Way Home sebanyak 292 kali.

Bagaimanapun, beliau berpendapat sasaran itu sukar dicapai kerana kebanyakan filem baharu kini tidak ditayangkan lama di pawagam sebelum beralih ke platform penstriman.

Justeru, beliau memilih untuk mencabar rekod jumlah filem berbeza yang ditonton di pawagam dalam tempoh setahun.

Perancangan itu turut mengambil kira faktor cuaca apabila Hoskin sengaja memulakan percubaannya pada musim bunga supaya dapat mengatasi rekod 777 filem sebelum tibanya musim sejuk.

Beliau mengakui tidak gemar memandu ketika musim sejuk dan menganggap sebarang pencapaian tambahan selepas berjaya memecahkan rekod asal sebagai satu bonus.

Bagaimanapun, cuaca musim sejuk yang lebih sederhana di Pennsylvania membolehkannya meneruskan aktiviti berkenaan dan menonton kira-kira 430 filem melebihi sasaran awal.

Dalam pada itu, Hoskin memberitahu Guinness World Records bahawa filem animasi dan komedi menjadi antara genre kegemarannya.

Antara filem yang meninggalkan kesan kepadanya ialah The Wild Robot (2024) dan Deadpool & Wolverine (2024).

Beliau turut menikmati suasana menonton komedi bersama penonton lain kerana reaksi dan gelak ketawa orang ramai menjadikan pengalaman di pawagam lebih menyeronokkan berbanding menonton bersendirian di rumah.

Sepanjang tempoh berkenaan, Hoskin turut menjalin hubungan baik dengan pekerja dan pengurusan pawagam yang sering membantunya mengenal pasti filem berdurasi lebih pendek bagi membolehkan lebih banyak tayangan dimasukkan dalam jadual hariannya.

Menariknya, usaha memecahkan rekod dunia itu tidak memerlukan perbelanjaan tiket yang terlalu tinggi.

Hoskin menggunakan kad langganan Regal Unlimited yang membolehkannya menonton filem tanpa had dengan bayaran kira-kira AS$28 (RM117) sebulan.

Bagi menjimatkan perbelanjaan, beliau turut menyediakan makanan sendiri dari rumah untuk dimakan ketika waktu rehat antara tayangan.

Beliau juga menggunakan kawasan sekitar pawagam untuk bersenam dengan berjalan kaki di dalam dan luar bangunan sementara menunggu tayangan seterusnya.

Hoskin berkata, selain berjaya mencipta rekod dunia, pengalaman itu turut memberikannya rutin harian yang menyeronokkan, peluang berinteraksi dengan orang lain serta ruang untuk terus menikmati minatnya terhadap filem.