PHNOM PENH – Kempen besar-besaran kerajaan Kemboja membanteras pusat penipuan dalam talian atau scam yang beroperasi di negara itu mencetuskan krisis kemanusiaan apabila puluhan ribu bekas pekerja pusat berkenaan terpaksa hidup terbiar tanpa tempat tinggal dan bantuan untuk pulang ke negara asal.
Operasi yang dipertingkatkan susulan tekanan antarabangsa itu menyaksikan ribuan bekas pekerja dilepaskan ke jalanan selepas pusat operasi jenayah berkenaan diserbu dan ditutup.
Malah, hampir setahun selepas tindakan penguatkuasaan dipergiatkan, ratusan individu masih terkandas di negara itu.
Laporan Associated Press (AP) berdasarkan temu bual bersama bekas pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyiasat kes pemerdagangan manusia serta beberapa pakar mendedahkan skala krisis yang berlaku susulan tindakan kerajaan Kemboja itu.
Bekas pekerja mendakwa mereka berdepan penahanan sewenang-wenangnya, gangguan polis serta terpaksa tidur di jalanan berikutan larangan kerajaan terhadap premis penginapan yang mahu menerima mereka.
Pengkritik pula berpandangan sebahagian besar bekas pekerja berkenaan sebenarnya merupakan mangsa pemerdagangan manusia dan sepatutnya diberikan penilaian sewajarnya bagi mengenal pasti sama ada mereka pernah didera atau dipaksa bekerja ketika berada di dalam kompleks scam.
Wakil pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Eos Collective, Li Ling berkata, kerajaan Kemboja secara umumnya menganggap migran yang ditemukan terperangkap di pusat scam sebagai pesalah.
"Kami tidak melihat bukti usaha mencukupi untuk menilai mereka berdasarkan petunjuk pemerdagangan manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.- Agensi