GEORGE TOWN – “Apa nasib kes baru-baru ini yang melibatkan ADUN Keadilan ya?”
Itu persoalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang mempersoalkan layanan berbeza diberikan terhadap seorang ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa terlibat dengan kes keganasan rumahtangga baru-baru ini.
Pertikaian itu dibuat di Facebooknya susulan tindakan yang dikenakan terhadapnya iaitu digugurkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti.
Bekas Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi turut mempersoalkan pendirian Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berhubung tindakan berkenaan selain meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang disifatkan sebagai ketidakadilan dalam parti.
"Sebagai anggota parti saya rasa layanan diberikan berbeza, semua jawatan dibuang, dipecat terus, sekarang apa kata Setiausaha Keadilan Yb Fuziah Salleh?" katanya pada Jumaat.
Terdahulu, jawatan Exco yang disandang oleh Fahmi telah tamat secara rasminya pada Mac lalu.
Sebelum itu, Fahmi yang merupakan Exco negeri digantung serta-merta daripada semua jawatan PKR sehingga kes mahkamahnya selesai.
Tindakan berkenaan dibuat susulan beliau didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.
Fahmi sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya dalam satu kejadian pada 22 Februari lalu.
Bagaimanapun, Fahmi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhannya itu.
Untuk rekod, Fahmi yang merupakan antara Exco termuda dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan itu pada Ogos 2023.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, sebagai anggota parti, beliau merasakan layanan yang diberikan terhadap dirinya berbeza berbanding pihak lain.
“Keadilan tidak menjadi keadilan.
“Sejak sekian lama hidup dalam kesetiaan, bersuara bukan bererti derhaka,” katanya.
Fahmi turut menegaskan bahawa kesetiaan yang diberikan kepada parti selama ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan hak anggota menyuarakan pandangan.
Beliau juga membangkitkan persoalan mengenai tindakan menggugurkan semua jawatan dan pemecatan yang disifatkan sebagai tidak mencerminkan prinsip keadilan.
Terdahulu, media melaporkan, polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang ADUN di sini memukul isterinya baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, polis memanggil empat individu yang juga ahli keluarga untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.