SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta rakyat memilih calon mempunyai 'talian terus' ke Pejabat Perdana Menteri pada Pilihan Raya Negeri ( PRN) Melaka.
Syahir berkata, kenyataan itu amat mengejutkan memandangkan Anwar dikenali sebagai seorang pemimpin yang selama ini lantang memperjuangkan reformasi institusi, menentang amalan kronisme dan nepotisme dalam politik.
Iklan
Iklan
"Jadi, terserah kepada rakyat untuk menilainya," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, pengundi pada PRN Melaka diseru supaya memilih wakil rakyat yang mempunyai 'talian terus' ke Pejabat Perdana Menteri bagi melicinkan urusan pembangunan serta pembelaan nasib penduduk setempat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar berkata hubungan baik dan keselarasan hala tuju antara pentadbiran Persekutuan dan wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan serta dasar kebajikan rakyat berjalan lancar.
Mengambil contoh calon PH bagi kerusi DUN Paya Rumput dan DUN Kelebang, Anwar berkata kedua-dua calon iaitu Datuk Azman Abidin dan Farzana Hayani Mohd Nasir mempunyai hala tuju yang sama dengan kerajaan Persekutuan dan kewibawaan serta integriti mereka amat diperlukan
Syahir turut menimbulkan persoalan tentang keyakinan terhadap keupayaan calon yang ditawarkan oleh PH sehingga perlu bergantung pada ‘payung’ Perdana Menteri sebagai kelebihan politik.