19 pakar industri halal berhimpun di PEH26

Iklan
Sebahagian daripada peserta PEH25 pada tahun lalu. Gambar kecil: AMIR HAMZAH

Ahli panel pelbagai latar belakang halal dari dalam dan luar negara kongsi ilmu, pengalaman

PERSIDANGAN Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH26) anjuran Kolej UNITI dan UNITI Halal Centre (UHAC) yang membuka tirai pada Selasa di Bangi Avenue Convention Centre menghimpunkan 19 ahli panel dan penceramah daripada pelbagai bidang kepakaran, termasuk pakar industri halal dari Jepun dan Afrika Selatan.

Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, penganjuran buat kali kelima yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri lebih 300 pemain industri halal termasuk eksekutif halal dan ahli akademik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PEH yang merupakan platform perkongsian ilmu dan kepakaran akan memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal berkaitan pensijilan, pematuhan syariah, pengurusan industri serta pembangunan profesion eksekutif halal.

“Kita mahu profesion halal terus diperkasakan sebagai tonggak utama pematuhan halal dalam industri, selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global,” katanya.

Iklan

Tambahnya, PEH26 kali ini mengetengahkan pendekatan perbincangan yang lebih terbuka dan berorientasikan cabaran sebenar industri dengan penglibatan wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan pembangunan industri serta syarikat terkemuka.

“Antara tajuk yang bakal menjadi tumpuan peserta persidangan termasuklah cabaran pematuhan halal melibatkan bahan bantuan pemprosesan, tanggungjawab pematuhan halal antara pemilik jenama dan pengilang kontrak serta keseimbangan antara kepentingan komersial pensijilan halal dengan tanggungjawab industri.

Iklan

“Selain itu, ahli panel juga akan mengupas mengenai kedudukan sebenar eksekutif halal dalam memastikan keberkesanan sistem pematuhan dalam organisasi dan perkongsian pengalaman pengamal halal Malaysia di Jepun.

Menurut Amir Hamzah, Majlis Perasmian PEH26 akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Ujarnya, Kolej UNITI yang merupakan antara institusi pendidikan tinggi terawal menawarkan pengajian khusus dalam bidang halal melalui program Diploma Pengurusan Industri Halal sejak 2013 dan Uhac akan terus memainkan peranan dalam pembangunan kompetensi profesional halal, latihan industri serta peluasan jaringan kerjasama halal.