Treler terbabas rempuh pembahagi jalan sebelum terbakar

Iklan
Pemandu treler terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri dan terbakar dalam kejadian awal pagi Khamis

KLANG – Sebuah treler terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 11.1 Jalan Pelabuhan Barat berhampiran susur Daiso menghala ke Klang pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, treler yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, treler berkenaan dalam perjalanan dari Westport menuju ke Shah Alam ketika kejadian berlaku.

“Treler tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

Iklan

“Akibat rempuhan itu, bahagian badan treler terlepas dan terpisah sepenuhnya daripada kepala kenderaan sebelum bahagian kepala treler terbakar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pemandu berjaya dibawa keluar daripada kenderaan sebelum api marak dan kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Iklan

Lim berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi pada jam 5.27 pagi sebelum berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 6.15 pagi.

Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan turut menjalankan kawalan lalu lintas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran trafik di kawasan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta selamat sebelum memulakan perjalanan,” katanya.