KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih bertugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana belum menerima surat atau arahan rasmi berhubung keputusan mengembalikannya ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Salah seorang peguam yang mewakilinya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya masih mempunyai kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua pengarah selagi proses pertukaran penempatan itu belum dimuktamadkan.
Menurutnya, Mohd Shuhaily juga terus menjalankan tugas seperti biasa termasuk mempengerusikan mesyuarat agensi berkenaan.
"Setakat ini, anak guam masih belum didapati bersalah dan boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya seperti biasa," katanya kepada media di Kompleks Mahkamah di sini pada Khamis.
Susulan itu, Rafique meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan penjelasan berhubung kenyataan bahawa Mohd Shuhaily telah dikembalikan semula kepada PDRM.
Beliau berkata, kedudukan anak guamnya ketika ini menimbulkan pertanyaan apabila kenyataan menteri berkenaan dilihat tidak selari dengan keadaan sebenar.
Katanya, penjelasan perlu diberikan bagi mengelakkan kekeliruan serta spekulasi mengenai status Mohd Shuhaily.
"Rakyat kini tertanya-tanya apabila menteri menyatakan satu perkara, tetapi apa yang berlaku menunjukkan keadaan sebaliknya.
"Jadi, menteri itu perlu menjelaskan perkara ini kerana ia menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya.
Pada 29 Oktober lalu, Saifuddin memberitahu, Mohd Shuhaily telah dikembalikan semula kepada PDRM.
Mohd Shuhaily, 54, sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selama tiga tahun bermula 2023 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Kedudukan Mohd Shuhaily menjadi persoalan sebagai orang nombor satu agensi itu apabila tidak hadir pada majlis Majlis Sambutan Hari Sambutan Ulang Tahun Ke-2 AKPS yang berlangsung di sebuah hotel, di Sepang baru- baru ini.
Mohd Shuhaily yang dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS kembali bertugas pada 2 November lalu selepas bercuti selama seminggu.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, Mohamad Faiz Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25 antara jam 1.27 hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA pada 28 September lalu.