Gantung tugas pegawai kanan SPRM sehingga siasatan selesai – Affendy

Iklan
Affendy mendakwa lebih 20 laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu, namun pegawai berkenaan masih belum disiasat dan dikenakan tindakan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menggantung tugas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga siasatan berhubung dakwaan penerimaan wang RM350,000 yang dikaitkan dengannya selesai.

Permohonan itu dikemukakan Affendy Zainan Karap atau lebih dikenali Jebat Derhaka menerusi satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan proses siasatan berjalan secara bebas, telus dan tanpa sebarang konflik kepentingan.

Iklan
Iklan

Affendy berkata, permohonan itu susulan laporan polis yang dibuatnya pada 29 Oktober lalu berhubung dakwaan berkenaan, selain merujuk laporan polis terdahulu bertarikh 11 Oktober 2026 oleh seorang individu yang menyatakan dirinya sebagai pegawai siasatan SPRM.

Menurutnya, dalam laporan berkenaan, pegawai siasatan SPRM itu menyatakan penerimaan wang RM350,000 itu benar dan menggesa polis menyiasat perkara tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, Affendy menegaskan dakwaan berkenaan perlu disiasat dan disahkan melalui penelitian dokumen, keterangan saksi serta aliran wang berkaitan, bukannya dianggap sebagai bukti bahawa kesalahan telah dilakukan.

Affendy Zainan (dua dari kanan) Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, Shanmugam Mookan di pintu masuk hadapan Bangunan Parlimen Malaysia pada Rabu.

Iklan

Beliau turut meminta pihak penyiasat mengesahkan maklumat mengenai dakwaan seorang ahli politik yang dikaitkan dengan penyerahan wang berkenaan pernah memberikan pengakuan kepada SPRM, selain meneliti laporan yang dikatakan dibuat Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim.

Affendy berkata, kedudukan sebagai pegawai kanan agensi antirasuah boleh menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan siasatan sekiranya beliau terus mempunyai akses kepada pejabat, dokumen, sistem dalaman dan kakitangan yang mungkin berkaitan dengan kes berkenaan.

Menurutnya, penggantungan tugas sementara bukan bermaksud menghukum atau mengisytiharkan seseorang bersalah, sebaliknya langkah pencegahan bagi mengelakkan konflik kepentingan, memelihara bukti serta melindungi saksi dan pegawai penyiasat daripada sebarang tekanan.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa siasatan dikendalikan pasukan bebas tanpa konflik kepentingan, mengehadkan akses pegawai berkenaan kepada urusan rasmi berkaitan siasatan serta memastikan saksi dilindungi daripada gangguan atau tindakan balas.

Affendy berkata, kerajaan perlu membuktikan komitmen terhadap agenda integriti dan tatakelola dengan memastikan prinsip ketegasan membanteras rasuah terpakai kepada semua pihak tanpa mengira pangkat atau kedudukan, selain menjelaskan perkembangan dan hasil siasatan kepada masyarakat setakat yang dibenarkan undang-undang.