PUTRAJAYA – Kelakuan seorang wanita yang terus berhubung dengan pendakwah selebriti, Da’i Syed selama beberapa bulan selepas kejadian, termasuk mengajaknya bertemu semula, menjadi antara faktor Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu mengetepikan sabitan rogol terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed.
Panel tiga hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagaimanapun, seorang lagi hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid tidak bersetuju dengan keputusan majoriti berkenaan.
Semasa membaca keputusan majoriti 2-1, Azman berkata, mahkamah mengambil kira mesej perbualan di Instagram dan WhatsApp antara wanita dengan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31.
Katanya, ia menunjukkan komunikasi berterusan tanpa sebarang luahan rasa marah, kesal atau sedih terhadap kejadian yang didakwa berlaku pada 11 September 2019.
ARTIKEL BERKAITAN: Da'i Syed menangis dilepas dan dibebaskan tuduhan merogol
Bebas tuduhan rogol, hakim nasihat Da’i Syed jangan salah guna populariti
Mahkamah turut mengambil kira, tindakan wanita itu yang menghantar mesej 'Safely arrived' selepas pulang ke rumah, selain terus memulakan perbualan secara santai dan berusaha mengajak pendakwah selebriti itu untuk bertemu kembali.
Menurut penghakiman itu, wanita berkenaan juga tidak meninggalkan rumah sewa Syed Shah Iqmal pada malam kejadian, sebaliknya bermalam di situ sebelum pulang pada keesokan harinya.
Katanya, mahkamah berpendapat keseluruhan kelakuan wanita itu sebelum, semasa dan selepas kejadian perlu dinilai bagi menentukan sama ada hubungan persetubuhan berlaku secara sukarela atau tanpa kerelaan.
"Kerelaan merupakan penilaian keadaan mental sewaktu kemasukan atau persetubuhan berlaku.
“Apabila kelakuan mangsa secara keseluruhan menunjukkan dia bergerak dan berhubung secara sukarela tanpa sebarang bantahan, dakwaan persetubuhan secara paksaan didapati tidak selamat untuk diterima,” kata hakim.
Sementara itu, mahkamah turut mengambil kira laporan polis yang hanya dibuat pada 25 November 2020, iaitu 441 hari atau setahun dua bulan dan 14 hari.
Katanya, rekod menunjukkan laporan itu dibuat selepas Syed Shah Iqmal mula kurang memberi respons terhadap mesej wanita berkenaan dan isu tersebut ditularkan oleh rakannya di media sosial.
Dalam pada itu, beliau berpendapat, mahkamah rendah terkhilaf apabila menerima andaian bahawa faktor kemurungan atau kenaifan wanita itu boleh digunakan untuk membatalkan kerelaannya.
Mahkamah berpandangan tafsiran peruntukan itu tidak boleh diperluaskan mengikut budi bicara sehingga merangkumi kekecewaan emosi.
Azman berkata, wanita itu disahkan mengalami gangguan kemurungan major dengan gejala keresahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kajang.
“Bagaimanapun, mahkamah mendapati berdasarkan keterangan yang dikemukakan, perayu tidak diletakkan dalam keadaan memahami situasi serta keadaan mental wanita berkenaan sehingga tidak berupaya memberikan kerelaan.
“Sehubungan itu, panel majoriti memutuskan pembelaan perayu berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan maka sabitan terhadapnya didapati tidak selamat untuk dikekalkan," katanya.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi 11 September 2019 lalu.
Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 30 Ogos 2024, dia menangis teresak-esak selepas Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adlin Abdul Majid menjatuhinya hukuman berkenaan dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.
Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.
Pada 23 Januari pula, Mahkamah Tinggi sama mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dengan alasan pembelaan perayu bersifat penafian semata-mata selain berpendapat, tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.
Dia sekali lagi ditempatkan di penjara namun pada 14 Februari lalu, iaitu selepas 21 hari dijel, bapa kepada dua anak itu dibebaskan sementara sehingga rayuan akhir di Mahkamah Rayuan didengar.