Minuman keras mewah guna setem cukai rendah, rampasan 370 botol

Iklan
Gudang yang diperiksa pihak berkuasa pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Kegiatan menyeleweng setem cukai bagi mengelak pembayaran duti eksais pada kadar sebenar terbongkar selepas pihak berkuasa merampas 370 botol minuman keras pelbagai jenama mewah bernilai RM702,566,11 pada Selasa.

Sepasukan anggota dan pegawai Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman melaksanakan Operasi Taring Alpha 2 di sebuah gudang di Selangor dan premis perniagaan di Kuala Lumpur pada jam 11.40 pagi.

Iklan
Iklan

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, seramai lima individu telah diperiksa dalam serbuan itu.

"Daripada jumlah itu, seramai empat individu ditahan membabitkan tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mohd Zaki berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam operasi tersebut.

"Hasil operasi itu, pihak Kastam menyita 73 kotak mengandungi 370 botol minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai keseluruhan RM702,566.11," katanya.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan awal di premis pertama menggunakan peralatan SICPA AIR mendapati terdapat minuman keras berjenama mewah yang disyaki menggunakan setem cukai atau pelekat Kastam dengan nilai duti eksais lebih rendah daripada yang sepatutnya dikenakan.

"Modus operandi itu dipercayai membabitkan kegiatan penyelewengan setem cukai bagi mengelak pembayaran duti eksais pada kadar sebenar, sekali gus berpotensi menyebabkan ketirisan hasil pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis kedua mendapati semua setem cukai pada botol minuman keras telah diperiksa dan disahkan lengkap oleh pegawai Kastam.

"Tiada kesalahan dikesan dan tiada rampasan dilakukan di premis berkenaan," katanya.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Pihak Kastam pula menjalankan siasatan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(c) Akta Kastam 1967.

"Barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam WPKL untuk disimpan di stor Kastam bagi tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Mohd Zaki berkata, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan WCB/PSK dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan hasil negara.