BALIK PULAU - Kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan wanita warga China menerusi taktik 'love scam' dan pelaburan emas terbongkar selepas polis menahan 35 warga asing dalam serbuan di dua unit kediaman di Bayan Lepas, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, operasi kira-kira jam 2.10 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Barat Daya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang.
Menurutnya, seramai 34 warga China terdiri daripada 33 lelaki dan seorang wanita serta seorang lelaki warga Taiwan ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkenaan.
“Mereka dipercayai menjalankan aktiviti penipuan 'love scam' dan pelaburan emas secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anuwal berkata, hasil pemeriksaan di kedua-dua premis, polis turut merampas 119 telefon bimbit, tiga komputer riba berserta pengecas yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan sindiket terbabit.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap individu tidak dikenali di platform media sosial khususnya mereka yang cuba menjalinkan hubungan peribadi sebelum menawarkan peluang pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Menurutnya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penipuan dalam talian amat dihargai bagi membantu polis membanteras jenayah komersil.