MCM peroleh ISO 9001:2015, perkukuh tadbir urus organisasi

Iklan
Zulkifli (kanan) menerima Sijil ISO 9001:2015 daripada Aminuddin.

SHAH ALAM - Muslim Care Malaysia Society (MCM) menerima Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 daripada SIRIM QAS International sebagai langkah memperkukuh sistem pengurusan dan tadbir urus organisasi itu.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, pensijilan berkenaan selari dengan usaha mereka mencapai misi untuk menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa pilihan yang terkedepan menjelang 2027.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang 21 tahun penubuhan, MCM melaksanakan pelbagai aktiviti kemanusiaan di lebih 50 negara selain berusaha meningkatkan kualiti tadbir urus dan perkhidmatan kepada pihak berkepentingan.

“Pengurusan sebuah organisasi kemanusiaan seperti MCM bukan sekadar berkaitan kecekapan operasi, tetapi turut melibatkan amanah besar terhadap penyumbang, penerima manfaat, rakan strategik dan masyarakat.

Iklan

“Pensijilan ini menandakan satu langkah penting dalam usaha MCM memperkukuh sistem pengurusan organisasi, khususnya dalam aspek integriti, akauntabiliti, ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan misi kemanusiaan,” katanya.

Kakitangan dan pengurusan MCM bergambar bersama para pegawai SIRIM selepas menerima sijil ISO 9001: 2015 di Shah Alam.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil ISO 9001:2015 di Ibu Pejabat SIRIM pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pensijilan itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada budaya kerja yang lebih profesional, sistematik dan berintegriti.

Menurutnya, setiap sumbangan yang diterima perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab, bermula daripada perancangan, kelulusan dan pelaksanaan sehingga pengagihan bantuan serta penyediaan laporan yang telus dan boleh dijejaki.

“Hasil sumbangan rakyat Malaysia dan kerjasama pelbagai pihak, MCM berjaya membina lebih 20 masjid, pusat Islam dan sekolah di seluruh dunia sepanjang 21 tahun lalu.

Antara projek berkenaan termasuk Pusat Islam di Warsaw, Poland dan Auckland, New Zealand, selain sebuah masjid di Santa Catarina, Brazil serta empat masjid di Jepun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran SIRIM Berhad, Aminudin Abd Aziz berkata, MCM memikul tanggungjawab besar sebagai NGO yang menjalankan kerja kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Tambahnya, organisasi berkenaan perlu memenuhi harapan penyumbang, penerima manfaat, rakan strategik serta masyarakat yang menuntut ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus berkesan.

“Kepercayaan ialah antara aset paling bernilai bagi sesebuah organisasi dan setiap proses kerja perlu dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan telus,” ujar beliau.