Lebih 100 juta rekod saintifik boleh diakses di PSSK UniMAP

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin Putra (dua kiri) merasmikan PSSK UniMAP sambil disaksikan oleh Tuanku Lailatul Shahreen (tengah) dan Zaliman (kiri) di Kampus UniCITI Alam.

PADANG BESAR – Lebih 100 juta rekod saintifik kini boleh diakses menerusi platform LeapSpace yang ditawarkan Perpustakaan Sains Sosial dan Kemanusiaan (PSSK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali gus memperkukuh kemudahan penyelidikan dan akses kepada sumber ilmu bertaraf global.

Inisiatif itu menjadikan Perpustakaan UniMAP sebagai perpustakaan universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan platform berkenaan dalam usaha memperluas penggunaan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Iklan
Iklan

Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Dr Zaliman Sauli berkata, penawaran LeapSpace merupakan langkah strategik universiti dalam menyediakan kemudahan penyelidikan yang lebih menyeluruh kepada warga akademik.

Menurutnya, platform itu bukan sahaja membolehkan pengguna mengakses sumber saintifik dalam jumlah besar, malah membantu pencarian maklumat, analisis penyelidikan, penerokaan peluang dana serta penulisan ilmiah.

Iklan

"Kemudahan ini juga membuktikan komitmen UniMAP untuk terus meneroka pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan ilmu, selari dengan perkembangan teknologi semasa.

"Dalam era perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), kita mahu warga universiti memanfaatkan kemudahan ini secara beretika dengan sentiasa mengutamakan ketepatan sumber, kesahihan maklumat dan integriti akademik," katanya pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian PSSK oleh Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kampus UniCITI Alam di sini.

Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro-Canselor UniMAP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selain LeapSpace, PSSK turut menyediakan pelbagai kemudahan digital menerusi Hub Digital yang membolehkan warga universiti mengakses lebih 2.5 juta judul e-buku serta jutaan teks penuh artikel jurnal dan kertas persidangan tanpa batasan lokasi kampus.

Kemudahan itu turut disokong Repositori UniMAP yang menyimpan hampir 100,000 objek digital merangkumi bahan rujukan akademik serta rekod sejarah universiti dan negeri Perlis.

PSSK yang mula beroperasi sejak penubuhan UniMAP pada 2002 ketika dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) turut melalui beberapa fasa pembangunan sebelum dijenamakan semula pada 2023.

Kini, perpustakaan berkenaan dibangunkan berasaskan tiga zon utama iaitu Hub Digital, Hub Pembelajaran dan Hub Komuniti bagi menyokong keperluan pembelajaran, penyelidikan serta perkongsian ilmu.

Zaliman berkata, pembangunan PSSK juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan pembelajaran berteraskan kemanusiaan, pendidikan fleksibel dan penyampaian pendidikan tinggi yang responsif.

Menurutnya, kemudahan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong aspirasi UniMAP 2030 dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran teknikal, malah mempunyai kemahiran insaniah serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.