Pekerja pembersihan maut digilis lori dipandu rakan setugas

Iklan
Mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis lori dipandu rakan setugas.

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja pembersihan maut digilis lori dipandu rakan sekerja dalam kejadian di Taman Kelisa Ria di sini sekitar jam 11 pagi Selasa.

Mangsa, Mohamad Zaidi Ibrahim, 45, dipercayai sedang melakukan tugas kutipan sisa pepejal sebelum dikatakan terjatuh dari tempatnya berdiri atas lori tersebut.

Iklan
Iklan

Difahamkan, kenderaan itu baharu sahaja berhenti melakukan kerja-kerja mengutip sisa pepejal dari rumah berdekatan sebelum mangsa terjatuh dan digilis ketika lori tersebut mula bergerak.

Saksi kejadian, Azizan Ishak, 65, berkata, terdengar dentuman kuat ketika baharu sahaja pulang dari beriadah sebelum bergegas ke lokasi yang berjarak hanya beberapa buah rumah.

Iklan

"Saya baru balik 'jogging' tiba-tiba terdengar bunyi kuat...saya pi tengok, sudah terbaring kat situ, nak tarik tak boleh sebab 'lekat' jadi saya panggil seorang lagi jiran...kami ajarkan dia mengucap," katanya.

Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh sebelum digilis lori terbabit.

Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi.

"Sepasukan lima anggota digerakkan ke lokasi, sebaik tiba mendapati seorang lelaki berada di bawah lori sampah berkenaan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian," katanya.

Pasukan bomba turut melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian selepas mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.