PHB meterai kerjasama dengan tiga agensi, perkasa pembangunan vendor Bumiputera

Iklan
Majlis pertukaran dokumen Memorandum Kerjasama antara PHB dan PUNB serta pemeteraian Surat Hasrat antara PHB dan CGC di Ibu Pejabat PHB, Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memeterai kerjasama strategik dengan tiga agensi lain bagi memperkasa pembangunan vendor Bumiputera menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera PHB.

PHB berkata, kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) itu merangkumi sokongan pembiayaan, akses pasaran, pembangunan kapasiti serta bimbingan perniagaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerjasama berkenaan turut memperkukuh peranan PHB sebagai syarikat peneraju di bawah Program Pembangunan Vendor KUSKOP bagi memperluas penyertaan usahawan Bumiputera dalam rantaian bekalan dan sektor industri strategik negara.

"Kerjasama tersebut dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PHB dengan KUSKOP, Memorandum Kerjasama (MoC) bersama PUNB dan Surat Hasrat dengan CGC pada 2 November lalu.

Iklan

"KUSKOP akan memberi tumpuan kepada pemudahcaraan program dan peluasan jaringan strategik, manakala PUNB menyediakan kemudahan pembiayaan serta pembangunan kapasiti perniagaan bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing vendor.

"Kerjasama dengan CGC pula bertujuan memudahkan akses kepada penyelesaian pembiayaan dan sokongan pembangunan perniagaan bagi menyokong pertumbuhan vendor Bumiputera," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kiri) bersama Mazuki (kanan) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) semasa Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Program Pembangunan Vendor Bumiputera PHB.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah@Muhammad berkata, pembangunan ekonomi Bumiputera yang mampan memerlukan sinergi antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti usahawan.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan bertujuan bagi memastikan peluang pertumbuhan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat membantu melahirkan lebih ramai vendor Bumiputera yang berdaya tahan, kompetitif dan bersedia merebut peluang pertumbuhan baharu,” katanya.

"Inisiatif itu turut menyokong aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) dalam membangunkan ekosistem ekonomi Bumiputera yang inklusif, bernilai tinggi dan mampan.

"Program berkenaan turut menekankan peningkatan kompetensi perniagaan, pengukuhan keupayaan operasi, pendigitalan, penggunaan teknologi, amalan tadbir urus yang baik, prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan vendor mampu memenuhi keperluan perniagaan semasa," katanya.