MERSING - Hubungan sulit dua rakan sekerja yang bekerja di Johor Bahru akhirnya terbongkar apabila pasangan berusia lingkungan 20-an itu dicekup berkhalwat ketika dipercayai menghabiskan masa bersama di sebuah resort, tengah malam Sabtu.
Pasangan terbabit ditahan dalam operasi dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 12.20 tengah malam.
Menurut kenyataan penguat kuasa JAINJ, pemeriksaan dilakukan selepas anggota bertugas pergi ke bilik resort berkenaan sebelum seorang lelaki membuka pintu selepas loceng dibunyikan beberapa kali.
“Bagaimanapun, kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen pernikahan dan memberikan keterangan bercanggah ketika disoal secara berasingan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, lelaki terbabit pada awalnya mendakwa sudah bernikah dengan wanita berkenaan selain menyatakan tarikh dan lokasi pernikahan mereka.
Bagaimanapun, wanita itu mengaku mereka belum mempunyai ikatan perkahwinan.
“Hasil semakan mendapati lelaki terbabit sudah mempunyai isteri, manakala wanita berkenaan masih berstatus anak dara.
“Kedua-duanya adalah rakan sekerja dan sering berjumpa atas urusan kerja,” menurut kenyataan itu lagi.
Pemeriksaan lanjut di bilik berkenaan turut menemukan pakaian lelaki dan wanita di dalam almari yang menunjukkan mereka menginap di resort terbabit.
Pasangan itu dipercayai datang dari Johor Bahru dengan menaiki kereta sebelum menginap di resort berkenaan.
Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 berkaitan kesalahan khalwat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama ini boleh menghubungi talian 07-2076429,” menurut kenyataan itu.