KULAI - Penstabilan tanah dan pemulihan struktur menjadi keutamaan dalam cadangan kerja pembaikan di Jalan Persiaran Indahpura 36/2, di sini, susulan kejadian runtuhan yang berlaku selepas hujan lebat pada petang Khamis.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, runtuhan terbaharu membabitkan kawasan sepanjang kira-kira 70 meter. Bagaimanapun, skop pembaikan perlu diperluas melebihi 100 meter bagi merangkumi bahagian bersebelahan yang turut menunjukkan rekahan.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan tindakan segera bagi mengawal pergerakan tanah dan mengurangkan risiko kerosakan merebak ke kawasan bersebelahan.
Beliau berkata, langkah awal yang perlu dilaksanakan ialah pemasangan cerucuk kepingan keluli atau sheet pile bagi menahan pergerakan tanah di kawasan terjejas sebelum kerja pembinaan struktur konkrit dijalankan.
"Pemasangan itu merupakan langkah penstabilan awal untuk mengurangkan risiko runtuhan lanjut, sementara kerja pembaikan struktur dirancang dan dilaksanakan mengikut reka bentuk perunding.
"Keutamaan turut diberikan kepada bahagian yang menunjukkan rekahan kerana keadaan tersebut perlu diambil kira dalam penentuan skop pembaikan, selain kawasan yang telah mengalami runtuhan," katanya ketika meninjau lokasi pada pagi Jumaat.
Mohd Jafni memberitahu, khidmat perunding di bawah pihak konsesi berkaitan akan diperoleh bagi menyediakan reka bentuk struktur pembaikan sebelum permohonan peruntukan dikemukakan kepada kerajaan negeri.
"Penyediaan reka bentuk itu akan menjadi asas kepada pelaksanaan kerja pembaikan, termasuk langkah penstabilan tanah dan pembinaan struktur konkrit di kawasan yang dikenal pasti.
"Ini kerana berkenaan pernah mengalami kejadian seumpama itu kira-kira lima kali dalam tempoh 10 tahun lalu, dengan runtuhan terbaharu disifatkan sebagai yang paling serius setakat ini,"ujarnya
Sehubungan itu, tindakan segera dan penyediaan reka bentuk pembaikan diberi perhatian bagi menangani kerosakan serta mengurangkan risiko keadaan menjadi lebih serius.
Dalam aspek pembiayaan, permohonan peruntukan bagi melaksanakan kerja pembaikan akan dikemukakan melalui Pejabat Daerah dan Tabung Bencana selepas penyediaan reka bentuk serta perincian skop kerja berkaitan.
Beliau memaklumkan bahawa perbincangan awal dengan pihak berkaitan di peringkat kerajaan negeri telah diadakan bagi menyelaraskan permohonan tersebut dan membolehkan tindakan pembaikan disegerakan.
Pada masa sama, pihak kontraktor diarahkan memberi perhatian kepada keselamatan kawasan kerja dan pergerakan pengguna jalan raya, termasuk menyediakan laluan sementara sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Langkah keselamatan itu perlu diselaraskan dengan kerja penstabilan dan pembaikan supaya pergerakan pengguna dapat diurus dengan selamat sepanjang kerja berlangsung.