JOHOR BAHRU – Tindakan tiga lelaki dan dua wanita menyewa sebuah kondominium mewah untuk ‘berpesta’ terbongkar apabila premis itu diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kira-kira jam 9.35 pagi, Selasa.
Operasi cegah maksiat itu berjalan lancar selepas penguat kuasa menunjukkan waran sebelum mendapat kerjasama penuh daripada pengawal keselamatan kondominium berkenaan.
Menurut JAINJ, rumah terbabit berada di tingkat 11 dan pintu dibuka seorang lelaki yang memakai seluar jean panjang dan tshirt selepas lima minit diketuk.
Penguat kuasa memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa tetapi lelaki berkenaan cuba menutup semula pintu.
"Penguat kuasa berjaya menghalang dan masuk ke dalam dan menemui seorang wanita yang memakai skirt labuh dan baju ketat sedang baring di sofa sambil menonton televisyen.
"Penguat kuasa juga menemui seorang lelaki memakai seluar pendek dan tidak memakai baju berdiri bersebelahan wanita itu," menurut JAINJ dalam kenyataan.
Ketiga-tiganya diminta penguat kuasa menunjukkan pengenalan diri sebelum semua mereka mengaku bukan adik beradik dan tiada hubungan mahram.
"Lelaki pertama berumur 23 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan. Lelaki kedua berumur 16 dan bekerja di sebuah bengkel manakala wanita pula berumur 18 tahun dan belum bekerja.
"Rumah itu mempunyai sebuah bilik dan didapati berkunci dari dalam. Penguat kuasa ketuk pintu dan minta seorang daripada dua lelaki tersebut memanggil rakannya yang berada di dalam."
Tujuannya supaya rakannya dalam bilik kenal suara rakannya tanpa mensyaki kehadiran penguat kuasa.
"Kemudian penguat kuasa dengar suara seorang lelaki sebut perkataan 'kejap-kejap'. Pintu bilik dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar pendek dan tidak memakai baju.
"Penguat kuasa menemui seorang wanita sedang baring atas katil dan berselimut.
“Setelah diminta bangun, wanita itu didapati memakai baju nipis bahu bertali dan berseluar pendek."
Hasil soal siasat JAINJ, pasangan berkenaan yang kelihatan takut mengaku hanya berdua-duaan dan bukan suami isteri serta bukan adik beradik tiri.
"Pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa wanita, terdapat kesan gigitan 'semut' di leher kanan wanita. Lelaki juga ada gigitan 'kerengga' di lehernya."
Lelaki berkenaan berumur 23 tahun, berstatus bujang dan bekerja sebagai penghantar barang, wanita pula berumur 16 tahun dan tidak bekerja.
"Kelima-lima mereka diterangkan kesalahan khalwat yang bukan hanya bermakna satu lelaki dan satu wanita saja, tetapi ramai dari itu pun boleh kena."
JAINJ memberitahu, tiga lelaki berkenaan berkongsi wang menyewa kondominium tersebut dan tempahan dibuat secara dalam talian dan diberikan kata laluan untuk mengambil kad dalam peti surat tanpa bertemu sesiapa di kaunter.
"Mereka kata hanya berseronok untuk mencari ketenangan setelah penat bekerja. Mereka juga mengaku bukan menyewa kondominium kali pertama tetapi sudah beberapa kali di lokasi yang berbeza sekitar Johor Bahru."
Jelas JAINJ, selepas tangkapan itu keluarga mereka dipanggil untuk proses jamin dan berlaku 'drama' apabila ada keluarga yang tinggi suara memarahi anaknya.
Pasangan terbabit ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan akan didakwa di mahkamah.