Drama pendek Jalan Pulang ketengahkan realiti kehidupan mualaf

Iklan
Mohd Suhaimi (empat dari kiri) bersama barisan pelakon drama pendek, Jalan Pulang.

KUALA LUMPUR - Perjalanan memeluk Islam bukan sekadar perubahan pegangan agama, malah turut menuntut kekuatan menghadapi pelbagai cabaran ketika membina kehidupan baharu.

Realiti itu diketengahkan menerusi drama pendek bersiri Jalan Pulang terbitan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Datuk Keramat yang mengangkat kisah benar perjalanan saudara baharu sebagai medium dakwah kreatif.

Iklan
Iklan

Drama berkenaan turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami kesukaran yang dihadapi golongan mualaf sebelum dan selepas memeluk Islam, termasuk keperluan terhadap bimbingan, perlindungan serta sokongan berterusan.

Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat, Mohd Suhaimi Abdul Aziz berkata, penerbitan karya itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan kehidupan saudara baharu menerusi pendekatan seni yang lebih dekat dengan penonton.

Iklan

Menurutnya, hampir keseluruhan barisan pelakon yang menjayakan drama itu terdiri daripada mualaf, sekali gus memberi ruang kepada pengalaman serta perjalanan hidup mereka diketengahkan menerusi lakonan.

“PERKIM meletakkan saudara baharu sebagai keutamaan untuk disantuni, diberikan kebajikan, perlindungan dan sebagainya.

Iklan

“Kita mahu masyarakat tahu bahawa mereka mempunyai seribu satu masalah sebelum dan semasa memeluk Islam. Jadi, kita perlu menyelami kehidupan mereka, memahami masalah yang dihadapi dan berusaha membantu menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran treler drama pendek Jalan Pulang dan muzik video lagu tema asal (OST), Terus Yakin, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Suhaimi berkata, jalan cerita drama itu menggabungkan beberapa pengalaman sebenar saudara baharu yang diolah menjadi sebuah naratif bagi menggambarkan pelbagai cabaran kehidupan golongan berkenaan.

Melalui watak utama, penonton dapat mengikuti gambaran perjalanan mualaf yang bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu, malah berdepan pelbagai ujian sepanjang proses tersebut.

Beliau berkata, masyarakat perlu memainkan peranan dengan memberikan kepercayaan, kasih sayang dan bimbingan supaya saudara baharu tidak berasa terpinggir ketika menyesuaikan diri sebagai Muslim.

“Pada peringkat awal, kebanyakan mereka masih kosong dari segi pengetahuan Islam dan tidak mempunyai banyak perkara untuk dijadikan tempat berpaut.

“Mereka memerlukan masyarakat untuk memberikan secebis harapan, peluang dan sokongan supaya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap drama Jalan Pulang dan lagu tema Terus Yakin dapat menyentuh hati penonton, selain menyemai kesedaran mengenai pentingnya sokongan berterusan terhadap saudara baharu.

Usaha berkenaan juga diharap dapat menyuntik semangat kepada golongan mualaf untuk terus tabah dan istiqamah mendalami Islam meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan.

Drama pendek bersiri itu diterbitkan oleh PERKIM Cawangan Datuk Keramat dengan kerjasama Masterpeace Entertainment sebagai usaha memperluas penyampaian dakwah melalui seni dan media digital.

Inisiatif berkenaan turut membawa mesej Islam yang berteraskan rahmah kepada masyarakat menerusi penceritaan yang mengetengahkan pengalaman sebenar golongan mualaf.

Drama Jalan Pulang kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube PERKIM Cawangan Datuk Keramat, manakala episod pertamanya boleh diakses menerusi pautan https://youtu.be/Pj4YGVGXaMc.