FILEM Kudrat 1968: High Council bukan bertujuan menggalakkan budaya buli, sebaliknya mengetengahkan kesan perbuatan tersebut serta pengajaran di sebalik setiap tindakan yang dilakukan watak-wataknya.
Pengarahnya, Zulaikha Zakaria berkata, isu buli sememangnya sering dikaitkan dengan siri Projek: High Council sejak awal pembikinannya berikutan paparan visual yang dianggap dekat dengan realiti kehidupan di sekolah.
Bagaimanapun, beliau memastikan setiap babak keganasan yang dipaparkan dalam naskhah berkenaan mempunyai kesan dan balasan tersendiri agar penonton dapat memahami akibat daripada perbuatan membuli.
“Bagi saya dari awal lagi pembikinan High Council sehingga siri ini (Kudrat 1968), isu buli di sekolah masih dikaitkan dengan naskhah High Council.
“Secara visual ia sangat dekat dengan apa yang terjadi (buli), tapi bezanya dalam filem ini walaupun ada babak-babak keganasan saya akan pastikan watak-watak tersebut ada balasannya (pengajaran).
“Disebabkan siri ini dari drama ke filem, jadi penonton akan lihat pengajaran yang didapati daripada setiap tindakan membuli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana Kudrat 1968: High Council di TGV KLCC, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zulaikha berkata, kesan daripada perbuatan buruk turut diperlihatkan menerusi perkembangan karakter, termasuk perubahan seseorang daripada berperwatakan baik kepada individu yang bersikap kasar.
Menurutnya, perjalanan watak-watak dalam cerita berkenaan menjadi antara medium untuk mengetengahkan impak negatif perbuatan membuli serta penyalahgunaan kuasa.
“Setiap watak yang jahat itu impaknya sangat besar. Penonton boleh lihat apa yang terjadi dengan watak Pa. Malah daripada karakter baik boleh menjadi kasar.
“Di sini saya mahu menegaskan bahawa walaupun naskhah ini ada menunjukkan tentang gejala buli, tapi cerita High Council, Kahar dan Kudrat ada tema dan topik yang bukan menggalakkan buli.
“Buli bukan hanya berlaku di sekolah, tapi fasal hierarki. Kedudukan orang ternama, berkuasa dan orang bawahan… Banyak topik sebenarnya yang mahu saya ketengahkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulaikha meluahkan rasa syukur terhadap penerimaan penonton terhadap filem terbaharu itu serta siri Projek: High Council sebelum ini.
Katanya, maklum balas positif yang diterima, termasuk daripada pengguna media sosial di platform Threads, menjadi pembakar semangat kepada pasukan produksi untuk terus memperbaiki mutu karya mereka.
“Saya sangat bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap Kudrat dan siri High Council ini.
“Alhamdulillah persepsi yang diterima juga sangat positif. Betul, ramai yang beri maklum balas terutamanya netizen di Threads.
“Saya rasa ini hanyalah satu permulaan. Mungkin ada kekurangan yang tak tercapai, saya percaya ia hanya membuatkan team kami dan industri filem untuk buat lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Kudrat 1968: High Council menjadi perhatian di media sosial apabila timbul dakwaan bahawa karya berkenaan menggalakkan budaya buli dalam kalangan pelajar.
Perbincangan mengenai isu itu turut mendapat perhatian susulan pelbagai kes buli yang dilaporkan berlaku di sekolah, termasuk insiden yang mengakibatkan kematian.
Filem berkenaan merupakan prekuel kepada siri Projek: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024), yang membawa penonton menyelami permulaan pembentukan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.
Naskhah arahan Zulaikha bersama Khairi Asyraff itu dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan barisan pelakon lain.
Kudrat 1968: High Council dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 29 Oktober ini.