LOS ANGELES - Patrick Stewart, pelakon British yang terkenal dengan pementasan karya Shakespeare sebelum menempa nama sebagai bintang besar Hollywood menerusi francais filem Star Trek dan X-Men, meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles pada usia 86 tahun.
Menurut kenyataan rasmi dimuat naik di media sosialnya, Patrick meninggal dunia disebabkan penyakit Alzheimer dan 'Lewy Body Dementia'.
“Suara beliau yang lantang dengan bakat luar biasa akan terus dikenang menerusi persembahan lakonan yang meninggalkan kesan mendalam dalam pelbagai genre,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Pelakon yang berasal dari Yorkshire, utara England itu pernah beraksi di pentas teater Britain bersama Royal Shakespeare Company dan National Theatre di London, selain membintangi beberapa produksi televisyen British.
Bagaimanapun, namanya melonjak ke persada budaya popular dunia menerusi watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri Star Trek: The Next Generation serta Profesor Charles Xavier dalam beberapa filem X-Men dan filem berkaitan Marvel.
Beliau meneroka sisi kemanusiaan dalam segala kerumitan puitisnya dan membawa harapan bukan sahaja ke pelosok Marvel Cinematic Universe, malah ke sempadan terakhir paling ikonik dalam dunia fiksyen sains menerusi kapal angkasa Enterprise.
Kapal angkasa Enterprise
Stewart berusia 47 tahun ketika dipilih membawa watak Picard dalam Star Trek: The Next Generation, siri televisyen aksi langsung pertama yang dihasilkan daripada francais fiksyen sains perintis pada penghujung 1960.
Beliau secara tidak langsung mengambil alih peranan yang sebelum ini sinonim dengan Kapten Kirk lakonan William Shatner dalam siri asal, sekali gus menjadikan watak itu sebagai laluan Stewart menuju kemasyhuran dan kekayaan.
Watak Picard terkenal dengan beberapa ungkapan ikonik, termasuk 'Make it so!'
Malah, memoir Stewart yang diterbitkan pada 2023 turut menggunakan tajuk Making It So.
Bagaimanapun, penghijrahannya ke Amerika Syarikat pada 1987 awalnya disambut dengan pandangan sinis oleh akhbar Los Angeles Times yang menyifatkannya sebagai 'pelakon Shakespeare dari Britain yang tidak dikenali'.
Stewart kemudian mengakui beliau tersinggung dengan tanggapan bahawa dirinya seolah-olah merendahkan martabat kerjaya apabila beralih ke dunia televisyen Amerika Syarikat.
Beliau pernah menyifatkan latar belakangnya dalam pementasan Shakespeare sebagai 'tidak lebih daripada persediaan untuk duduk di kerusi kapten Enterprise'.
Karisma dan kedalaman watak
Stewart sekali lagi meraih pujian menerusi penampilannya di layar perak dalam beberapa filem siri X-Men, dengan kemunculan pertama pada 2000 sebagai Profesor Charles Xavier iaitu pengasas dan mentor kepada kumpulan adiwira mutan itu.
Marvel Studios berkata, selama lebih 25 tahun, Patrick membawa karisma dan kedalaman luar biasa kepada watak itu, sekali gus meraih peminat di seluruh dunia serta membantu mengubah penceritaan adiwira buat selama-lamanya.
Rakan pelakonnya yang sekian lama membintangi filem bersamanya, Hugh Jackman yang membawa watak Wolverine, mengenang Stewart sebagai 'antara insan hebat dalam dunia teater dan perfileman' serta 'sahabat dan insan yang luar biasa'.
Dari 2020 hingga 2023, Stewart kembali ke francais Star Trek menerusi siri televisyen Star Trek: Picard.
Beliau pernah dicalonkan sebanyak empat kali untuk Anugerah Emmy, namun tidak pernah memenanginya.
Walaupun mengecapi kejayaan di Hollywood, kecintaan Stewart terhadap dunia teater, khususnya karya Shakespeare, tidak pernah luntur.
Di sela-sela penggambaran, beliau kembali ke akar umbinya di pentas teater dan berjaya memenangi dua Anugerah Olivier.
Pelakon yang menerima pelbagai pengiktirafan itu turut memenangi Anugerah Grammy bagi kategori rakaman kata-kata yang dituturkan menerusi narasinya untuk karya Prokofiev: Peter And The Wolf.
Stewart dilahirkan pada 13 Julai 1940 di bandar kecil Mirfield, West Yorkshire, sebagai anak ketiga daripada tiga beradik lelaki dalam sebuah keluarga kelas pekerja.
Stewart dijadualkan membuat penampilan terakhirnya dalam filem menerusi watak Profesor Xavier dalam Avengers: Doomsday yang bakal ditayangkan pada Disember ini.
Dianugerahkan gelaran Sir pada 2010, Stewart berkahwin sebanyak tiga kali, iaitu dengan Sheila Falconer dengan dikurniakan dua cahaya mata termasuk Daniel yang turut bergelar pelakon.
Kemudian bersama penerbit Star Trek, Wendy Neuss untuk tempoh singkat, sebelum berkahwin dengan penyanyi Amerika Syarikat, Sunny Ozell yang 38 tahun lebih muda daripadanya.