IPOH - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) mengambil pendekatan proaktif membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerjanya menerusi pelbagai aktiviti yang menitikberatkan kesejahteraan fizikal dan mental.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Mohd Azhar Mohd Yusof berkata, usaha itu penting bagi membentuk tenaga kerja berprestasi tinggi, selain memastikan kebajikan dan kesihatan pekerja sentiasa diberikan perhatian.
“Kadang-kadang kita melihat pekerja yang masih muda pun sudah berdepan masalah kesihatan. Sebab itu, kita mahu terapkan budaya menjaga kesihatan supaya mereka dapat bekerja dengan baik dan mencapai prestasi tinggi.
“Kalau kesihatan mental dan fizikal tidak kuat, bagaimana kita hendak bekerja ke arah prestasi tinggi?” katanya ketika Program Perak SADC Active & Wellness Day 2026 di sini pada Rabu.
Program bertemakan Cergas Bersama, Sejahtera Bersama itu menghimpunkan kira-kira 250 warga kerja termasuk pengurusan ladang di seluruh negeri.
Mohd Azhar berkata, program itu memberi peluang pekerja termasuk mereka yang bertugas di ladang, menjalani saringan kesihatan serta mendapatkan pendedahan mengenai penjagaan kesihatan diri.
“Sekurang-kurangnya, kita mahu pekerja menjalani pemeriksaan kesihatan sekali setahun supaya jika ada masalah, ia dapat dikesan lebih awal. Sebagai majikan, kita akan membantu setakat yang termampu,” katanya.
Selain itu, program turut menyediakan aktiviti derma darah dengan kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Antara pengisian lain termasuk larian dan jalan santai sejauh lima kilometer, perkongsian keseimbangan kerja dan kehidupan serta amalan pemakanan sihat, selain kuiz interaktif dan cabutan bertuah.
Program turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), HTM Pharmacy, Quill Ipoh Orthopaedic Hospital, Sunway Medical Centre Ipoh, Decathlon, Takaful Malaysia, VIQ dan Serai Group.