GEORGE TOWN – Selepas 12 tahun menanti kehadiran cahaya mata, seorang lelaki tidak menyangka doktor yang banyak membantunya mendapatkan zuriat akhirnya pergi buat selama-lamanya dalam tragedi tanah runtuh di Paya Terubong baru-baru ini.
Lebih menyentuh hati, doktor berkenaan, Dr Wong Kar Lin, 73, merupakan individu pertama selain dirinya yang mengetahui berita kehamilan isterinya pada 5 Oktober 2022 ketika menghadiri satu persidangan.
Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Azly Ahmad, 40, berkata pemergian doktor yang disifatkannya sebagai insan istimewa itu bukan sahaja meninggalkan kesedihan, malah membawa bersama sebahagian daripada kisah perjuangan hidup keluarganya yang tidak mungkin dilupakan.
Menurutnya, sepanjang 15 tahun mengenali mendiang yang mesra disapa Dr Wong dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), mendiang tidak pernah jemu berkongsi ilmu serta membantu pengamal OSH di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, katanya, ramai mungkin hanya mengenali mendiang sebagai seorang doktor kesihatan pekerjaan (OHD) tanpa mengetahui sumbangan besarnya dalam membantu pasangan yang berdepan kesukaran mendapatkan zuriat.
“Pada 2021, saya mendapat tahu daripada rakan dalam kalangan petugas kesihatan di kilang Osram bahawa beliau bukan sekadar memberikan rawatan perubatan am, malah turut membantu ramai pasangan mendapatkan cahaya mata.
“Beliau mendalami ilmu rawatan kesuburan semula jadi atau Natural Procreative Technology (NaProTechnology), hasil kajian Dr Thomas W Hilgers ketika berada di Australia,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.
Menurut Azly, pendekatan itu membantu ramai pekerja kilang Osram di Pulau Pinang memperoleh zuriat tanpa perlu menjalani rawatan persenyawaan berbantu seperti permanian beradas (IUI) atau persenyawaan in-vitro (IVF).
Lebih bermakna, beliau dan isterinya, Eliana Abdullah, 38, turut menjadi antara pasangan yang menerima manfaat daripada ilmu serta bantuan mendiang, sekali gus merealisasikan impian mereka untuk menimang cahaya mata selepas penantian selama 12 tahun.
“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH, penantian kami selama 12 tahun untuk mendapatkan cahaya mata akhirnya terjawab,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, Kar Lin maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh melanda sebuah rumah di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba kira-kira jam 11.20 pagi.
Kejadian itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 67, dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim, yang berusia lingkungan 80-an.
Bagaimanapun, kedua-duanya terselamat selepas sempat keluar dari kediaman berkenaan ketika kejadian berlaku.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang menyiapkan sarapan untuk keluarganya di dapur, manakala isteri dan ibu mertuanya berada di bilik di tingkat atas.
Mengimbas detik yang sukar dilupakan itu, Azly berkata, Dr Wong merupakan individu pertama selain dirinya yang mengetahui isterinya hamil ketika menghadiri Persidangan FFM pada 5 Oktober 2022.
Malah, beliau berkata, kebolehan doktor berkenaan membaca carta Creighton Model FertilityCare System (CrMS) turut mengejutkannya apabila mendiang didakwa dapat mengenal pasti jantina bayi ketika usia kandungan masih terlalu awal.
“Bagi saya, keistimewaan mendiang bukan sekadar terletak pada kepakaran perubatan, tetapi juga keikhlasan membantu orang lain merasai kebahagiaan bergelar ibu bapa.
“Walaupun kami berlainan agama, Dr Wong seperti sebahagian daripada keluarga saya. Malah, kami sekeluarga menganggap mendiang seperti seorang bapa dan datuk kepada anak kami, Anaqy.
“Terima kasih ALLAH kerana menghadirkan insan seperti Dr Wong dalam kehidupan kami,” katanya.
Mengakhiri luahannya, Azly menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar dan berjanji akan terus mengenang jasa insan yang banyak mengubah perjalanan hidup keluarganya.
“Berehatlah, doktor. Terima kasih atas segalanya. Anda terlalu baik.
“Selepas ini, setiap kali saya memandang anak saya, saya akan mengingati dan merindui anda. Anda akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah hidup kami,” katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.