'Tolong kami, selamatkan nyawa Muhammad Faihan'

Iklan
Muhammad Faihan memerlukan dana RM120,000 untuk pembedahan jantungnya.

BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki berusia tiga minggu memerlukan dana RM120,000 bagi menjalani pembedahan jantung segera selepas disahkan menghidap Transposisi Arteri Besar (TGA).

TGA merupakan kecacatan jantung yang menyebabkan kedudukan dua salur darah utama dari jantung terbalik.

Iklan
Iklan

Muhammad Faihan Darwish Mohd Safari dilaporkan perlu menjalani pembedahan dalam tempoh dua minggu bagi membolehkannya mendapat bekalan darah beroksigen yang mencukupi.

Bapanya, Mohd Safari Md Zailani, 36 berkata, anak keempatnya itu dilahirkan secara normal dan cukup bulan pada 6 Oktober lalu namun tubuh bayi berkenaan bertukar kebiruan sejurus dilahirkan.

Iklan

Menurutnya, bayi itu kemudian dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal untuk mendapatkan bantuan oksigen sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan masalah jantung yang dihadapinya.

“Pemeriksaan terperinci doktor mendapati anak saya disahkan menghidap TGA iaitu kedudukan dua salur darah utama yang keluar dari jantung terbalik.

Iklan

“Keadaan itu menyebabkan peredaran darah tidak normal dan tubuh tidak mendapat bekalan darah beroksigen yang mencukupi sekali gus memerlukan pembedahan,” katanya.

Mohd Safari berkata, dia dan isterinya, Nor Shathirah Che Su, 31 kini terpaksa mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan yang mencecah RM120,000.

Katanya, mereka tidak mampu menyediakan jumlah berkenaan dalam tempoh singkat sedangkan pembedahan perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawa anak mereka.

“Kami benar-benar cemas dan tidak berdaya untuk membiayainya sendiri. Kami meminta pertolongan anda untuk menyelamatkan nyawa anak kami.

“Jika pembedahan tidak dilakukan segera, anak kami mungkin tidak dapat bertahan sehingga usianya enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya meluluskan permohonan keluarga dari Kuala Ketil, Kedah itu untuk membantu mengumpulkan dana bagi membiayai pembedahan berkenaan.

Menurutnya, pembedahan bayi itu dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober ini.

“Bapa bayi bekerja sebagai jurujual produk tembakau dengan pendapatan sederhana manakala ibunya tidak bekerja.

“Pasangan itu turut mempunyai tiga anak lain yang masing-masing berusia dua, lima dan sembilan tahun,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu membiayai pembedahan Muhammad Faihan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3201428817.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi laman web onehopecharity.org.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.