GEORGE TOWN- Mangsa tanah runtuh disahkan meninggal dunia akibat dihempap objek tumpul dan mengalami sesak nafas selepas tertimbus tanah dalam kejadian di sebuah rumah di Paya Terubong, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, perkara itu disahkan berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan pada awal pagi Isnin.
"Keputusan bedah siasat diperoleh kira-kira jam 3 pagi tadi dan pegawai penyiasat turut hadir sepanjang proses berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh melanda sebuah rumah di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam.
Mayat mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pasukan bomba kira-kira jam 11.20 pagi.
Kejadian itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 67 dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim, 80-an.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar dari kediaman tersebut ketika kejadian berlaku.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang menyiapkan sarapan untuk keluarganya di dapur manakala isteri dan ibu mertuanya berada di bilik tingkat atas.