Status cerun Paya Terubong stabil, siasatan menyeluruh dijalankan - MBPP

Iklan
MBPP mengesahkan keadaan cerun di Paya Terubong kini stabil.

GEORGE TOWN – Kestabilan cerun di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini dilaporkan berada dalam keadaan terkawal selepas kerja-kerja pemindahan saluran paip air ke lokasi yang lebih selamat selesai pada Ahad.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang tanda menunjukkan berlaku pergerakan tanah susulan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa menegaskan pemantauan rapi serta langkah keselamatan wajib diteruskan berikutan faktor cuaca hujan berterusan yang berisiko merendahkan tahap kestabilan cerun.

"Namun kita harus terus berwaspada bagi mengekang kejadian sama daripada berulang," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2026 di sini pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, tragedi kira-kira jam 8.36 pagi pada Ahad itu mengorbankan nyawa seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 akibat tertimbus di bawah runtuhan konkrit susulan insiden tanah runtuh yang menghempap sebuah kediaman di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam.

Berikutan insiden tersebut, Rajendran berkata, MBPP bertindak tegas mengeluarkan notis arahan henti kerja kepada pemaju selain mengarah pelaksanaan langkah mitigasi bagi mengurangkan ancaman keselamatan di zon terlibat.

Iklan

Tambah beliau, siasatan terperinci akan dikendalikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga berkemungkinan besar turut dilibatkan dalam siasatan.

Menurutnya, MBPP dalam masa sama meneruskan pemantauan di lokasi bagi mengenal pasti situasi sebenar kawasan terjejas.

"Proses siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan, bergantung kepada situasi di lapangan serta hasil pemeriksaan pakar.

"Bagaimanapun, ini tidak bermaksud penduduk yang dipindahkan perlu menunggu tempoh siasatan selesai sepenuhnya sebelum dibenarkan pulang," jelasnya.

Ujarnya lagi, keputusan rasmi mengenai keselamatan untuk membolehkan penduduk kembali ke rumah masing-masing akan diputuskan bersama pihak penyiasat manakala pengurusan penempatan sementara mereka diuruskan oleh Pejabat Tanah.

Mengulas mengenai satu lagi insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah yang menyebabkan dua kenderaan tertimbus, beliau menjelaskan bahawa kejadian itu tiada kaitan dengan aktiviti pembangunan sebaliknya disebabkan masalah pada struktur cerun sedia ada.

Jelas Rajendran, peralihan monsun yang membawa taburan hujan lebat berterusan memudahkan air meresap ke dalam tanah sekali gus melemahkan daya tahan cerun dan meningkatkan kebarangkalian berlakunya runtuhan.

Sehubungan dengan itu, katanya, MBPP telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua kontraktor dan pemaju sejak September lalu agar mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) serta langkah keselamatan di tapak pembinaan susulan musim cuaca berisiko tinggi.