IPOH - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) menyarankan supaya kadar bayaran lesen penjaja diseragamkan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Presidennya, Alfirzamunira Abdul Muin berkata, cadangan itu bagi mengurangkan beban peniaga kecil yang ketika ini berdepan peningkatan bayaran hampir setiap tahun antara RM170 hingga RM400.
Menurutnya, kadar berkenaan berbeza mengikut PBT, dengan Manjung antara kawasan yang menerima aduan mengenai kadar lesen yang tinggi.
"Isu kadar lesen yang berbeza antara PBT ini antara aduan yang sering dibangkitkan ahli persatuan.
"Sebagai langkah awal, pihak persatuan telah berjumpa dengan PBT untuk berbincang mengenai kemungkinan mengurangkan kadar bayaran lesen penjaja.
"Bagi kami, kadar lesen ini perlu diselaraskan supaya peniaga kecil tidak terbeban dengan perbezaan bayaran mengikut kawasan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Karnival Penjaja dan Usahawan Bersama Komuniti 2026 di PSU Club House Ipoh pada Sabtu.
Alfirzamunira berkata, cadangan penyeragaman kadar lesen bagi semua PBT dijangka dibincangkan untuk pelaksanaan mulai 2027, namun perkara itu masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
Katanya, kadar bayaran lesen yang dikenakan ketika ini juga bukan tetap dan berpotensi meningkat setiap tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga kecil terhadap kos operasi mereka.
"Pihak persatuan juga ada menyediakan kemudahan pinjaman bagi bayaran lesen yang mana mereka boleh membuat bayaran balik secara ansuran.
"Inisiatif ini mula dilaksanakan tahun ini dan telah membantu lebih 50 peniaga di seluruh negeri," katanya.
Mengulas mengenai karnival, Alfirzamunira berkata, program julung kali dianjurkan persatuan itu menghimpunkan 30 peniaga tempatan, khususnya daripada golongan B40 yang berpeluang memasarkan produk dan menjana pendapatan.
"Antara tarikan disediakan termasuk jualan makanan seperti yong taufu dan laksa pada harga berpatutan, selain jualan Rahmah yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)," katanya.
Program itu turut mendapat sokongan lapan agensi termasuk Maybank, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan permainan bola jaring serta bola sepak bagi golongan dewasa.