KLANG - Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan tender terbuka bagi membangunkan aplikasi navigasi jalan raya baharu keluaran Malaysia sebagai alternatif kepada Waze, susulan kontroversi membabitkan TuJu.
Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata, beliau menyokong gesaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng supaya kerajaan melaksanakan tender terbuka bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan persaingan adil dalam pemberian projek teknologi kerajaan.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan kos projek TuJu, proses perolehan, pemilikan, pemilihan pembangun dan asas kelulusan kontrak, termasuk bagaimana Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) memperoleh projek itu serta sama ada tender terbuka dilaksanakan.
"Jika tiada tender terbuka, kerajaan perlu menjelaskan sebabnya dan mendedahkan proses kelulusan, aturan kontrak serta perbelanjaan, tertakluk kepada pertimbangan komersial dan undang-undang yang sah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ganabatirau berkata, Malaysia mempunyai jurutera perisian, usahawan teknologi, penyelidik universiti dan inovator muda yang mampu membangunkan penyelesaian digital tempatan dan tidak seharusnya diketepikan dalam pemberian projek kerajaan.
Menurutnya, aplikasi navigasi baharu perlu dipilih berdasarkan merit, keupayaan teknikal, kebolehpercayaan, pengalaman pengguna, keselamatan data dan nilai untuk wang, bukannya hubungan politik atau akses istimewa.
Beliau menggesa kerajaan membuka tender kepada syarikat Malaysia yang layak, syarikat pemula niaga dan institusi penyelidikan, dengan kriteria pemilihan, proses penilaian, pencapaian projek dan keperluan prestasi yang jelas.
"Kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa melantik pembangun baharu untuk menggantikan TuJu.
"Sebarang aplikasi alternatif perlu membuktikan keupayaan menyediakan navigasi tepat, maklumat trafik yang boleh dipercayai, kemas kini tepat pada masanya, keselamatan siber mencukupi dan pengalaman pengguna yang positif," katanya.
Aplikasi itu juga katanya, perlu menjalani penilaian teknikal bebas, ujian rintis di pelbagai kawasan negara serta percubaan awam sebelum pelaksanaan seluruh negara. Prestasinya hendaklah dibandingkan dengan platform sedia ada, termasuk Waze, berdasarkan piawaian jelas dan telus.
Dalam pada itu, Ganabatirau mencadangkan kerajaan meneroka mekanisme pembiayaan sedia ada bagi membantu syarikat pemula niaga tempatan membangunkan Produk Minimum Berdaya Maju (MVP), menguji teknologi dan membuktikan daya maju komersial.
"Program melalui agensi seperti Cradle Fund dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) boleh menjadi pilihan, tertakluk kepada syarat kelayakan serta pembiayaan semasa," katanya.
Beliau berkata, bantuan sewajarnya mengutamakan geran dan struktur pembiayaan yang membolehkan pengasas mengekalkan pemilikan harta intelek serta ekuiti, tanpa perlu menyerahkannya secara tidak wajar untuk mendapatkan pembiayaan awal.
Bagaimanapun, pembiayaan awam perlu disertakan dengan hasil kerja yang jelas, penyaluran dana berdasarkan pencapaian projek, penilaian bebas dan akauntabiliti kewangan.
Ganabatirau turut mengemukakan enam tuntutan, iaitu mendedahkan proses perolehan TuJu dan alasan pemilihan PCSB; menerbitkan maklumat kos, skop kerja, komitmen pembiayaan serta obligasi prestasi tertakluk kepada sekatan kerahsiaan yang sah; melaksanakan tender terbuka bagi aplikasi pengganti; memberi peluang adil kepada syarikat pemula niaga dan teknologi tempatan; mewajibkan ujian bebas serta percubaan awam; dan memperkukuh pemantauan melalui sasaran prestasi terukur, pembayaran berasaskan pencapaian serta akauntabiliti awam.
Menurutnya, isu TuJu bukan sekadar berkaitan aplikasi navigasi, sebaliknya menyentuh keadilan pemberian projek awam, nilai wang pembayar cukai dan peluang kepada inovator tempatan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
“Tender terbuka, perbelanjaan telus, persaingan adil dan prestasi terbukti mesti menjadi piawaian bagi setiap projek teknologi kerajaan,” katanya.