SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) digesa menjelaskan lokasi sebenar projek loji sisa kepada tenaga (WTE) yang dilaporkan mendapat kelulusan untuk memulakan pembinaan pada 2027.
Gesaan itu dibuat Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) yang mempersoalkan sama ada projek Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS) masih dikekalkan di tapak asal di Batu Arang atau dipindahkan ke lokasi baharu berhampiran Rawang.
“Orang ramai berhak mengetahui lokasi sebenar pembinaan insinerator berskala besar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Baru-baru ini media melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan bahawa projek berkenaan mungkin dipindahkan ke tapak lain di Rawang.
Amirudin turut menjelaskan bahawa aspek keselamatan, pengezonan dan zon penampan memerlukan penelitian lanjut, selain menegaskan jarak zon penampan sedia ada sejauh 500 meter tidak mencukupi.
JRTI mendakwa, kekeliruan timbul selepas Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir memaklumkan bahawa tapak projek berhampiran Rawang diperoleh dan diluluskan kerajaan negeri, manakala semua keperluan termasuk kajian dan penilaian telah diselesaikan.
Bagaimanapun, JRTI mendakwa pihak pengurusan KDEBWM tidak menyatakan lokasi tepat tapak berkenaan atau menjelaskan sama ada cadangan pemindahan itu telah dilaksanakan.
"Ini bukan perkara kecil. Jika tapak telah berubah, di manakah lokasi baharu itu?
"Jika tapak asal di Batu Arang masih menjadi pilihan, bagaimanakah kebimbangan mengenai keselamatan dan zon penampan yang dibangkitkan oleh Menteri Besar telah ditangani? Bilakah keputusan ini dibuat?" soalnya.
Mengulas lanjut, JRTI berkata, kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) keenam pada Julai lalu tidak menghapuskan bantahan orang ramai atau menjawab persoalan yang masih berbangkit.
Katanya, sebanyak 12,150 bantahan bertulis dikemukakan dalam bentuk salinan bercetak kepada JAS, selain bantahan daripada kumpulan masyarakat sivil dan penghantaran bantahan secara dalam talian.
"Penduduk telah menyuarakan kebimbangan mereka. Mereka tidak sepatutnya terus dibiarkan tanpa maklumat sedangkan KDEBWM mengumumkan bahawa satu tapak telah diperoleh, diluluskan dan kini menuju ke peringkat pembinaan.
"Pengurusan sisa tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada memberikan jawapan. Sebelum projek diteruskan, penduduk berhak mendapat maklumat yang telus serta mengetahui bagaimana keputusan dibuat," katanya.