KUALA LANGAT - Seramai 120 peserta menyertai Kursus Penyembelihan Korban dan Kaedah Potongan Daging anjuran Persatuan Jalinan Ukhuwah Anak-Anak Kelantan (JUAAK) di Telok Panglima Garang di sini pada Ahad.
Presiden JUAAK, Mohd Shukri Yusoff berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat kaedah penyembelihan haiwan korban mengikut syariat Islam.
Menurutnya, peserta juga didedahkan dengan teknik melapah serta memotong daging dan tulang dengan betul.
"Program seumpamana ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi pengetahuan dan kemahiran praktikal, malah menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.
"JUAAK berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh peserta dapat dimanfaatkan serta dikongsikan dengan masyarakat setempat, khususnya bagi membantu pelaksanaan ibadah korban pada masa akan datang," katanya di Musolla al-Ukhuwah, Jalan Punai di sini.
Program itu dirasmikan Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang turut memberikan sokongan terhadap usaha memperkukuh pendidikan agama dan kemahiran praktikal dalam kalangan masyarakat.
Kursus berkenaan dikendalikan Pengerusi Penyembelih Syar'ie Malaysia, Halim Zakaria, yang berkongsi ilmu, pengalaman dan teknik penyembelihan bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban menepati kehendak syarak serta amalan yang betul dalam pengendalian daging korban.
Tambah Mohd Shukri, pihaknya bersyukur dengan sambutan menggalakkan yang diterima, sekali gus membuktikan minat masyarakat untuk menambah ilmu dan kemahiran berkaitan pengurusan ibadah korban.
"Penghargaan diberikan kepada Musolla al-Ukhuwah, penceramah, penyumbang, penaja serta semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
"Semoga usaha murni ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program bermanfaat pada masa hadapan, selaras dengan semangat 'Ukhuwah Tanpa Sempadan' yang menjadi aspirasi JUAAK," katanya.