UPTM iktiraf PUBG, Mobile Legends

Iklan
Naib Canselor UPTM, Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh (duduk, tengah) bergambar bersama peserta dan tetamu yang hadir pada majlis perasmian penutup Piala Esports Pengerusi MARA anjuran UPTM. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengiktiraf permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sebagai medium pembangunan bakat serta kemahiran pelajar menerusi sukan elektronik (esukan).

Naib Canselornya, Profesor Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, kedua-dua permainan itu memerlukan pemikiran strategik dan kerjasama berpasukan bagi mencapai kemenangan.

Iklan
Iklan

“Esukan ini kami iktiraf sebagai satu sukan yang penting dalam segmen sukan negara. Kita juga mahu pelajar mengembangkan bakat mereka, terutama dalam menyusun strategi dan memastikan kemenangan melalui kerja berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian penutup Piala Esports Pengerusi MARA anjuran UPTM pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB), Azlina Yusof yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB; Timbalan Naib Canselor UPTM (Akademik dan Pengantarabangsaan), Dr Mohd Erfino Johari; Presiden Esports Petaling merangkap Pengarah Zack RZK Resources, Abdul Razak Mohd Yusof serta Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia UPTM, Profesor Madya Dr Saifuddin Mohtaram.

Menurutnya, penglibatan dalam esukan turut perlu dipandu bagi memastikan pelajar mempunyai keseimbangan antara kecerdasan minda, kesihatan fizikal dan kekuatan spiritual.

Iklan

“Kita menyasarkan minda, tubuh dan jiwa. Bukan sekadar minda yang cerdas, tetapi fizikal juga sihat serta mempunyai kekuatan spiritual supaya walaupun bermain, mereka mampu memimpin diri sendiri,” ujarnya.

Sharifah Syahirah berkata, kejohanan itu akan dijadikan acara tahunan selaras dengan bidang tumpuan UPTM dalam teknologi maklumat dan multimedia.

“Insya-ALLAH, pada tahun depan kita akan melaksanakan penambahbaikan dengan skala lebih besar dan hadiah lebih lumayan,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan akan diadakan bersama rakan strategik yang mempunyai keupayaan untuk membantu memperkukuh penganjuran kejohanan berkenaan.

Kejohanan itu menyaksikan penyertaan daripada 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), dengan 11 daripadanya mara ke peringkat akhir yang menghimpunkan kira-kira 200 pelajar secara fizikal di UPTM pada Ahad.

Pertandingan PUBG dilaksanakan secara dalam talian pada 21 hingga 25 September lalu, manakala MLBB berlangsung secara fizikal pada 25 Oktober dengan keseluruhan kejohanan menawarkan hadiah berjumlah RM5,000.

Dalam saingan akhir MLBB, MRSM Muadzam Shah muncul juara selepas mencatat kemenangan 2-0, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,250 berserta medal iringan.

MRSM Tun Ghazali Shafie pula meraih gelaran naib juara dengan hadiah RM750, manakala MRSM Sungai Besar menduduki tempat ketiga dan menerima RM500, masing-masing berserta medal iringan.

Selain pertandingan, program itu menjadi platform memperkenalkan peluang melanjutkan pengajian, persekitaran universiti serta bidang akademik UPTM kepada komuniti pelajar sekolah.

Penganjurannya menggabungkan kepakaran Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia UPTM, Jabatan Pemasaran dan Pengambilan Pelajar serta Kelab UPTM Esports di bawah penyelarasan Ketua Projek Piala Esports Pengerusi MARA @ UPTM, Hafizz Al-Amirrul Mohd Zanial.