Bantuan makanan mahasiswa Perak meningkat kepada 1,000 penerima

Iklan
Saarani (tengah) menyampaikan cek cura bantuan makanan berjumlah RM200,000 kepada USAS di bawah Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026 pada Jumaat.

KUALA KANGSAR - Bantuan makanan RM200 sebulan yang diberikan kepada mahasiswa anak Perak meningkat kepada 1,000 penerima tahun ini berbanding 600 orang tahun lalu.

Inisiatif yang digerakkan Yayasan Bina Upaya (YBU) menerusi Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) 2030 itu melibatkan lima kampus institusi pengajian tinggi (IPT) dengan penyediaan peruntukan lebih RM2.2 juta.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program berkenaan diperluaskan secara berperingkat sejak 2022 bagi membantu mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan makanan sepanjang pengajian.

Menurutnya, program itu bermula dengan 200 mahasiswa di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sebelum ditambah setiap tahun selaras dengan kemampuan kerajaan negeri.

Iklan

"Program pertama di USAS dahulu adalah projek rintis dan kita janji, apabila kerajaan negeri mempunyai wang, kita tambah tiap-tiap tahun.

"Maka Alhamdulillah tahun ini kita sudah mencapai sekurang-kurangnya 1,000 mahasiswa di Perak tersenarai sebagai penerima," katanya ketika berucap dalam Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) 2030 Tahun 2026 di USAS di sini, pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.

Lima kampus yang terlibat ialah USAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, Universiti Teknologi Petronas (UTP), UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Setiap mahasiswa menerima bantuan makanan RM200 sebulan yang dimasukkan ke e-dompet masing-masing dengan keutamaan kepada anak Perak daripada keluarga berpendapatan RM1,500 sebulan dan ke bawah serta golongan asnaf.

Saarani (tengah) menyampaikan cek cura bantuan makanan berjumlah RM200,000 kepada USAS di bawah Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026 pada Jumaat.

Mengulas lanjut Saarani berkata, kebajikan mahasiswa perlu diberikan perhatian kerana terdapat golongan itu yang terpaksa berjimat dalam perbelanjaan harian meskipun mereka sepatutnya dapat menumpukan perhatian terhadap pengajian.

Katanya, bantuan yang diberikan diharap dapat menjadi dorongan kepada mahasiswa untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan membina masa depan yang lebih baik.

"Kita mahu pastikan mereka yang betul-betul layak dan berhak menerima manfaat daripada program ini," katanya.

Sementara itu, Saarani turut menasihatkan mahasiswa supaya tidak berasa rendah diri hanya kerana berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, latar belakang keluarga bukan penghalang untuk berjaya kerana setiap individu perlu melalui pelbagai kesusahan dan kepayahan sebelum mencapai kejayaan.

"Jangan bersedih kalau kita datang daripada keluarga yang susah. Tak ada orang terus-terus berjaya.

"Jika kita rasa kita ini susah, maka kita kena lihat ada tak orang lain yang lebih susah daripada kita. Nescaya akan datang rasa syukur," katanya.

Sehingga kini, jumlah penerima bantuan yang direkodkan sejak Program MPS 2030 diperkenalkan adalah mencecah 2,200 orang.