KUANTAN - Rakyat Pahang khususnya di daerah Lipis dan sekitarnya dijemput hadir ke Program Town Hall Rakyat (THR) Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan) yang akan berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis pada pada Isnin.
Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Datuk Mohd Farid Mohd Nor berkata, program itu merupakan peluang terbaik untuk rakyat dari segenap lapisan bertemu mata dan berinteraksi bersama Tok Wan.
Menurutnya, banyak perkara yang akan dikongsikan khususnya pencapaian kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tok Wan sepanjang tahun ini selain perancangan dan inisiatif yang bakal dilaksanakan untuk rakyat Pahang.
Program THR Sinar Harian Bersama Menteri Besar Pahang dijadual berlangsung jam 8.30 malam pada Isnin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis.
Program selama satu jam 30 minit itu turut bersiaran secara langsung serentak di semua platform digital Sinar Harian.
Program tersebut merupakan edisi ketiga anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik (UKS) Pahang dalam menyantuni rakyat negeri itu yang mana sebelum ini diadakan di Karangkraf Shah Alam pada 17 Januari 2025 manakala di Kuantan pada 11 November tahun sama.
Sementara itu, Mohd Farid berkata, penganjuran THR Sinar Harian bersama Tok Wan di Kuala Lipis kali ini ada keistimewaan tersendiri apabila julung kalinya program berkenaan dibawa ke luar lokasi kebiasaan seperti Kuala Lumpur dan Kuantan.
Menurutnya, langkah itu bagi memperkenalkan budaya program town hall kepada masyarakat di Lipis dan kawasan sekitarnya, yang sebelum ini mungkin hanya berpeluang menyaksikannya menerusi televisyen atau siaran langsung di platform media sosial.
“Kali ini kita beri peluang kepada masyarakat di Lipis dan sekitarnya untuk hadir ke Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah bagi menyaksikan acara ini secara langsung dan seterusnya memperkenalkan budaya ini kepada mereka,” katanya.
Mohd Farid berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran antara 2,000 hingga 2,500 tetamu berdasarkan kapasiti dewan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap sasaran berkenaan dapat dicapai dengan kehadiran rakyat 'penuh dewan' malam ini.
"Bagi mereka yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal boleh mengikuti siaran langsung program berkenaan menerusi Facebook rasmi Menteri Besar Pahang, Pahang Media dan di semua platform digital Sinar Harian.
"Istimewanya bagi yang dapat hadi secara bersemuka malam ini, mereka berpeluang untuk berkongsi pandangan, mengemukakan cadangan dan mengajukan pertanyaan secara langsung kepada Tok Wan," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya mengemukakan pandangan dan pertanyaan secara berhemah bagi memastikan sesi interaksi berlangsung dengan baik.
Beliau turut menggalakkan golongan muda, termasuk mahasiswa serta mereka yang bekerja dalam sektor awam dan swasta.supaya mengambil peluang menghadiri program berkenaan.
Katanya, antara perkara yang dibincangkan berkaitan masa depan Pahang dan mempunyai kepentingan kepada golongan muda serta generasi akan datang.
"Pada masa sama, golongan petani, nelayan sungai, pekebun kecil dan sebagainya juga amat dialu-alukan kerana program ini boleh menjadi ruang untuk mereka menyampaikan pandangan serta mengetengahkan perkara yang berkaitan dengan kepentingan masing-masing," katanya.
Justeru itu, beliau berharap penduduk Lipis dan kawasan sekitarnya dapat mengambil peluang berkenaan untuk hadir beramai-ramai, selain mengajak rakyat di seluruh Pahang mengikuti siaran langsung THR Sinar Harian bersama orang nombor satu Pahang itu bagi mengetahui perkembangan, pencapaian dan perancangan kerajaan negeri.